Disklaimer

Semua isi kandungan dalam blog ini adalah picisan pemikiran penulis blog ini kecuali jika dinyatakan bukan. Mohon para pembaca bersedia dengan ubat-ubatan yang sesuai disebelah apabila ingin membaca blog ini. Pihak penulis tidak mahu bertanggungjawab atas segala kesulitan yang pihak pembaca alami. Andainya ada kesilapan yang berlaku, mohon kepada saudara dan saudari untuk menegur. Saudara saudari juga bebas untuk berkongsi isi blog ini sesuka hati saudara saudari. Tetapi, lebih molek rasanya jika saudara dan saudari dapat menitipkan bersama pautan ke blog ini supaya mudah dirujuk. Terima kasih.

Wednesday, December 11, 2013

"Dia datang......"

Bismillah...

Sudah lama benar rasanya jari ini tidak mengetuk-ngetuk papan kekunci ini. 
Janji lepas, ingin kembali mencetak jiwa-jiwa insan dengan penulisan. 
Dan hari ini, cuba mengotakan janji itu. Bi idznillah...

Sebelum itu, maaf atas ketidakrajinan diri ini untuk terus menulis di sini. InsyaAllah, mulai hari ini, saya akan cuba yang terbaik untuk memperuntukkan sedikit masa menulis di sini. Maklumlah, sekarang sudah bergelar pelajar semula. Pelajar perubatan pula tu. So, faham-fahamlah tahap kesibukannya. Lebih-lebih lagi apabila menuntut di bumi Sheikh Maududi ni. (India)

Hah, bagi alasan! 

Ops... Okay, sentap.

Alhamdulillah, sudah hampir 3 bulan saya berada di negara India ni. Pelbagai ragam manusia yang tak pernah dilihat, ditunjukkan di sini. Orang dulu-dulu cakap, 'jauh berjalan, luas permandangan'. Dan benarlah kata mereka, semakin luas pemandangan saya apabila semakin jauh saya berjalan.

Pemandangan.

Ya, pemandangan saya semakin luas. Dalam erti kata lain, semakin terbuka mata saya ini. Kalau dulu, saya mungkin hanya nampak tapi tak melihat. Alhamdulillah, sekarang saya nampak dan melihat.


Subhanallah. Sungguh, pemandangan yang sungguh luar biasa.

Bagaimana boleh nampak tapi tak melihat? 
Bilamana melihat menggunakan mata sahaja. Maka, anda hanya akan nampak.

Dan bagaimana boleh nampak dan melihat?
Bilamana anda melihat menggunakan mata dan hati. :)

Err, sejujurnya. Saya tidak punya apa-apa sangat untuk dibebelkan pada petang ni. Hanya sekadar singgah di sini dan mencoretkan sesuatu. eheh.

Atas sebab itu, biarlah saya menceritakan sebuah kisah kepada anda semua. Cerita ini diadaptasi dari kisah benar. Namun, telah diolah dengan banyaknya. Moga-moga ada iktibar disebalik kisah ini.

********************

Jam menunjukkan hampir 1 tengah hari. Sudah hampir sejam lamanya Amir disimbah terik matahari menunggu kelibat Ikhwan di situ. Pada malam sebelumnya, mereka berjanji untuk makan tengah hari bersama di Restoran Al-Habsi. Namun, sehingga kini kelibat Ikhwan masih tidak kelihatan.

Amir masih sabar menunggu. Dia pasti Ikhwan akan datang. Dia kenal benar dengan Ikhwan. Ikhwan bukanlah seorang yang gemar memungkiri janjinya. 

"Mungkin, Ikhwan ada masalah kot. Tapi, tak kan lah dia tak bagi tahu aku yang dia akan lambat hari ni..." Amir bermonolog sendiri.

Sebenarnya, sudah puas dia menelefon Ikhwan, namun panggilannya ditinggal tidak berjawab. Dalam masa menunggu Ikhwan, Amir mengisi masanya dengan membaca buku yang dibawanya bersama, 'Al-Muntalaq'. Dengan itu, masa yang berlalu tidaklah sia-sia dibawah angin panas. Amir menyambung bacaannya.

Sedar tak sedar, azan Zuhur berkumandang. Amir mengambil keputusan untuk solat terlebih dahulu di Masjid Saidina Ali yang terletak tidak jauh dari Restoran Al-Habsi. Sebelum itu, sempat lagi dia menghantar mesej kepada Ikhwan memberi tahu dia pergi solat terlebih dahulu.

Usai solat, mesejnya masih tidak berbalas. Amir mula tidak sedap hati. Terus, dia ke Restoran Al-Habsi dan memesan makanan untuk 2 orang, dibungkus dan bergerak ke bilik Ikhwan. 

Hampir 10 minit dia berdiri di hadapan pintu bilik Ikhwan. Salam telah diberi berkali-kali. Tangan pula sudah letih mengetuk pintu bilik rakannya itu. Namun, masih tiada balasan. 

Amir hampir-hampir terlupa dia ada memegang kunci pendua bilik Ikhwan. Segera dia kembali ke biliknya yang terletak di blok lain untuk mengambil kunci tersebut. Bungkusan makanan tadi, sengaja ditinggalnya di atas kerusi yg berada di hadapan bilik Ikhwan.

Apabila Amir masuk ke bilik Ikhwan, seraya dia menggelengkan kepalanya melihatkan Ikhwan berbungkus di atas katil.

"Aku tunggu punyalah lama, kau tidur rupanya. Hampas betul la kau ni Ikhwan!" 

Pantas, Amir terus melompat ke atas badan Ikhwan yang gempal itu dengan tujuan mengejutkan rakannya itu. Alangkah terkejutnya Amir apabila Ikhwan tidak bangun. Malah, lebih mengejutkan lagi badan Ikhwan panas!

"Ya Allah! Kau demam panas rupanya Ikhwan!" Amir mula gelabah. Dicubanya lagi untuk mengejutkan Ikhwan, namun usahanya tidak berjaya. Tanpa berlengah, dia terus berlari ke pejabat asrama untuk memaklumkan keadaan Ikhwan. Pihak pengurusan asrama terus sahaja menghubungi ambulan untuk menghantar Ikhwan ke hospital.

Malam itu, Ikhwan masih belum sedarkan diri. Amir semakin risau akan keadaan rakannya itu. Ibu bapa Ikhwan setia berada di wad sejak petang tadi. Ibu bapa Ikhwan mencadangkan supaya Amir pulang ke asrama terlebih dahulu. Biar mereka yang menjaga Ikhwan pada malam itu. Lagipun, Amir ada kelas keesokan harinya.

"Makcik, lusa pun saya ada kelas lagi. Tulat pun sama. Minggu depan pun. Tapi, saya cuma ada Ikhwan Aizat seorang sahaja," Amir membalas apabila ibu Ikhwan mencadangkannya pulang.

Situasi kembali senyap. Terlihat butir-butir jernih keluar dari mata kedua-dua insan tadi.

Ibu Ikhwan terharu akan sikap yang ditunjukkan Amir terhadap anaknya. Manakala Amir bersedih melihatkan rakannya yang terbaring kaku tidak bermaya di atas katil pesakit itu.

Amir sedih dan kecewa terhadap dirinya sendiri. Entah kenapa saat dia masuk ke bilik Ikhwan pada siang tadi, husnudzonnya pada Ikhwan boleh hilang begitu sahaja. Walhal, dia tahu benar akan bagaimana perilaku insan yang bernama Ikhwan Aizat itu. Dia berasa sangat bersalah. Saat ini, yang dia harapkan hanyalah Ikhwan dapat sedarkan diri dan dia dapat memohon maaf kepadanya.

Menjelang tengah malam, kira-kira pukul 11.43 malam, Ikhwan mula sedarkan diri. Nyata, Amir lah yang lebih gembira berbanding ibu bapa Ikhwan sendiri. Lantas, dia melakukan sujud syukur on the spot sebagai rasa gembira dan syukurnya pada Sang Pencipta.

Walaupun telah sedar, Ikhwan tidak berupaya untuk bercakap. Hanya pergerakan-pergerakan lemah yang mampu dia lakukan. Ikhwan cuba berinteraksi dengan Amir, namun Amir tidak dapat memahami apa yang cuba dikatakan oleh Ikhwan. Lantas, disuruhnya Ikhwan berehat sahaja. 

Keesokannya, Amir datang kembali ke wad yang menempatkan Ikhwan setelah pulang sebentar untuk urusan kendiri. Bersama-samanya, dibawa sebuah buku kosong dan pen untuk memudahkan dia berinteraksi dengan Ikhwan.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Ikhwan walaupun mukanya kelihatan pucat. Ikhwan mula menulis sesuatu dibuku itu. Ayat pertama yang ditulisnya, "Wan sayang ibu dan ayah." Amir sebak apabila membaca tulisan Ikhwan itu. Pada waktu itu, ibu bapa Ikhwan tiada di situ. Mereka berdua pulang ke rumah sebentar selepas dipaksa oleh Amir.

Pagi itu, mereka berdua berbual panjang. Namun, Amir lah yang lebih banyak bercakap. Amir menyingkap kembali zaman mereka berdua baru-baru kenal dahulu. Manakala, Ikhwan hanya sekadar mengangguk, tersenyum dan menulis sedikit sekadar membalas kepada Amir.

Petang itu, Amir meminta diri untuk pulang setelah ibu bapa Ikhwan sampai dan setelah memastikan keadaan Ikhwan semakin baik. Mulut Amir tidak henti-henti melafazkan rasa syukur kepada-Nya. Petang itu, Amir pulang dengan perasaan yang gembira.

Malangnya, kegembiraan Amir tidak lama. Pada malam itu, dia menerima panggilan daripada ibu Ikhwan bahawa keadaan Ikhwan semakin teruk. Tanpa berlengah, terus sahaja Amir bergegas ke hospital. 

Setibanya dia ke hospital, Ikhwan telah pun koma. Sejam kemudian, doktor mengesahkan bahawa otak Ikhwan tidak lagi berfungsi. Ikhwan mengalami brain death. Hidup Ikhwan kini hanya bergantung kepada bantuan mesin sahaja. Amir tahu benar apa yang akan berlaku apabila seseorang itu mengalami brain death. Tidak sanggup benar dia menerima kenyataan itu. Dia tidak sanggup untuk menerima kenyataan bahawa Ikhwan Aizat akan meninggalkannya buat selamanya di dunia ini.

Dalam kesedihan itu, Amir memandang wajah kedua-dua orang ibu bapa Ikhwan. Tergambar ketabahan dan kepasrahan di wajah mereka berdua. Amir begitu kagum akan semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua orang ibu bapa Ikhwan. Amir terus berdoa agar Allah mengurniakan keajaiban kepada Ikhwan. Dalam pada itu, dia terus menerus membisikkan kalimah-kalimah suci ke telinga Ikhwan. Tidak terlepas, nasihat supaya Ikhwan terus mengingati Allah.

Jam menunjukkan hampir 4 pagi. Pada ketika itu, keadaan Ikhwan semakin parah. Dan akhirnya, pada jam 4.27 pagi, Ikhwan disahkan meninggal dunia. Punca kematian Ikhwan ialah jangkitan virus yang telah menyebabkannya mengalami cardio respiratory arrest.

Apabila mendengar berita pengesahan kematian Ikhwan dari mulut doktor yang bertugas pagi itu, Amir berasakan dunia ini gelap seketika. Dia seperti tidak percaya dia telah kehilangan Ikhwan di dunia ini.

Padahal, hari Isnin lepas, mereka baru sahaja bermain futsal bersama-sama.
Kemudian, hari Rabunya, Ikhwan jatuh sakit dan dihantar ke hospital.
Dan hari Khamis, dia telah kehilangan rakan baiknya itu.

Rakan yang telah banyak membantunya berubah.
Rakan yang memperkenalkannya dengan tarbiyyah.
Rakan yang membantunya meninggalkan jahiliyyah.
Rakan yang berjanji untuk sama-sama berjuang untuk ummah.

Dialah Ikhwan Aizat.

Dalam masa beberapa hari sahaja Amir telah kehilangan Ikhwan. Allah lebih sayangkan Ikhwan. 

Amir terus menangis. Dia tidak dapat menahan kesedihan yang terbuku di hatinya.

Baru 3 hari pemergian Ikhwan ke dunia seterusnya, Amir sudah berasa sangat rindu akannya. Lantas, dia mencapai buku yang menjadi 'mulut' Ikhwan ketika dia terlantar di hospital tempoh hari. Itulah pertama kali Amir membaca tulisan-tulisan yg dicoretkan oleh Ikhwan. Sehelai demi sehelai muka surat diselak. 

Sebak. Setiap ayat, setiap patah, setiap gambar yang ditulis mahupun dilakarkan oleh Ikhwan ditatapnya.

"Ibu, ayah, Wan minta maaf."
"Amir, aku sayang kau"
"Amir, doakan aku."
"Ibu, Wan dahaga."

Itulah antara yang dicoretkan oleh Ikhwan. Namun, ayat yang paling menarik perhatian Amir,

"dia datangg..."

Terasa meremang bulu romanya apabila membaca ayat itu walaupun dia tidak pasti siapa 'dia' yang dimaksudkan Ikhwan yang sebenarnya. Memandangkan ayat itu berada di muka surat akhir yang ditulis oleh Ikhwan, dia membuat andaian sendiri bahawa 'dia' itu adalah Malaikat Pencabut Nyawa.

*********************

Sungguh, mati itu boleh datang bila-bila masa sahaja. Sudah tertulis di atas sana akan waktu kematian kita yang tidak akan lambat mahupun cepat walau sesaat sekalipun.

"Setiap yang bernyawa akan merasai mati....."
(3:185)

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu 
dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-
benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
(21:35)

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Kemudian
hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan."
(29:57)

Sungguh, mati itu pasti. Hidup, InsyaAllah. Semoga anda semua dapat ambil sedikit input daripada kisah sebentar tadi.

Sama-samalah kita berdoa agar dimatikan dalam keadaan khusnul khotimah. Amin.

______________________________________

*part yang "dia datang..." tu memang betul. Sumpah seram. Insaf kot. Mati tu boleh datang bila-bila je. Persoalannya, KITA DAH READY UNTUK MATI KE?

*nangis.








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...