Disklaimer

Semua isi kandungan dalam blog ini adalah picisan pemikiran penulis blog ini kecuali jika dinyatakan bukan. Mohon para pembaca bersedia dengan ubat-ubatan yang sesuai disebelah apabila ingin membaca blog ini. Pihak penulis tidak mahu bertanggungjawab atas segala kesulitan yang pihak pembaca alami. Andainya ada kesilapan yang berlaku, mohon kepada saudara dan saudari untuk menegur. Saudara saudari juga bebas untuk berkongsi isi blog ini sesuka hati saudara saudari. Tetapi, lebih molek rasanya jika saudara dan saudari dapat menitipkan bersama pautan ke blog ini supaya mudah dirujuk. Terima kasih.

Tuesday, April 07, 2015

Harapan: Kegagalan yang Menghidupkan

Agak lama juga blog ini ditinggalkan sepi tanpa entry yang membangkitkan hati. Masakan mahu membangkitkan hati dan jiwa insan lain sedangkan penulisnya sendiri dalam kondisi hati dan jiwa yang tak terbangkit.

Alhamdulillah, Dia masih kurniakan kesedaran, kekuatan, kesabaran dan keinginan untuk terus berada di jalan ini. Benarlah kata pejuang-pejuang dakwah yang terlebih dahulu melalui jalan ini, jalan dakwah ini bukan seperti jalan-jalan yang lain. Jalan ini penuh dengan onak duri dan sangat berliku. Hanya yang benar-benar kuat sahaja yang mampu bertahan. Dan Alhamdulillah sekali lagi, Dia masih pinjamkan kekuatan kepada aku untuk terus berada di jalan ini.

Cuti.

Aku suka dan tak suka cuti. Cuti ini ibarat satu virus. Jika kita mampu kawalnya, maka virus ini tunduk kepada badan kita. Jika kita gagal, jadilah kita hamba kepada cuti itu. Cuti ni kalau kita tak manfaatkan sepenuhnya, jadilah kita dalam golongan manusia yang disebut ‘al-khosirun’ dalam al-Quran yang bermaksud orang-orang yang rugi. Kalau kita berjaya manfaatkan sepenuhnya, jadilah kita dalam golongan orang-orang yang beruntung dan berjaya.

Cuti kali ini aku pulang dengan perasaan gembira. Mana taknya, dua orang sahabat fillahku akan melangkah ke tangga seterusnya dalam maratib amal. Alhamdulillah, mereka telah ditemukan jodoh mereka di jalan dakwah ini juga. Semoga pernikahan mereka itu menjadi qudwah buat masyarakat sekeliling mereka dan menggencarkan lagi dakwah mereka.

Dalam kegembiraan melihatkan mereka melangkah ke alam rumah tangga, berita kurang menyenangkan terus mengubah mood cuti aku. Masakan tidak, gagal untuk kali kedua bukanlah sesuatu yang mudah ditelan. Kali kedua, bukannya kali pertama lagi. Dan aku, sebagai orang yang dilihat membawa syiar Islam tidak menunjukkan qudwah yang sepatutnya.

Itulah yang menggusarkan jiwa aku sebenarnya.

Aku bimbang, dakwahku dijadikan sebab oleh mereka. Walhal, aku sendiri tidak pernah menyalahkan urusan dakwahku. Aku punya jadualku sendiri. Segalanya cukup aku bahagikan masa dengan sebaiknya. Ada masa untuk aku belajar, ada masa untuk membaca, ada masa untuk menulis, ada masa untuk beriadah dan ada masa untuk urusan dakwahku.

Cuma silap aku, tak belajar bila waktunya untuk aku belajar. Terkadang aku lupa bahawa belajar itu juga satu medium dakwah.

Sekarang, aku malu sendiri. Malu dengan sahabat seperjuangan, malu dengan adik-adik usrahku dan yang paling malu sekali, dengan Dia yang merancang ini semua.

Ah, boleh sahaja aku nak sedapkan hati bahawa ini semua hanyalah mehnah bagi aku. Ini adalah ujian tapisan untuk aku. Tetapi, nak sedapkan hati untuk apa? Untuk berasa tidak bersalah atas kesalahan diri yang terlanjur dilakukan.

Gusar urusan dakwahku menjadi fitnah, aku memberi hint kepada orang sekelilingku dengan mengeluarkan tweet seperti ini;

I never regret on what I did and what I commit to. I just regret that I didn’t do what I suppose to.”

Soalan.

Aku benci bila ada orang akan bertanya how and why. So, if you gonna ask how and why, just keep the question for yourself. I don’t need it. Untuk sekarang, aku hanya perlukan sokongan daripada kau dan kau.

Soalan-soalan yang kau rasa tak patut tanya dan tak patut bangkitkan, kau boleh simpan masuk peti dan tanam. Boleh juga kau biar tinggalkan sebagai draft dan dua tiga hari kemudian kau delete. Sebabnya aku memang tak suka.

Apabila pulang ke kampung pada cuti kali ini, soalan-soalan yang tak enak didengar untuk dijawab sering kali dilontarkan.

“Kau berapa lama lagi kat sana?”

“Sekarang kau tahun berapa?”

Kemudian ditambahkan lagi garam pada luka bila soalan yang dilontarkan dijawab.

“Aku rasa macam dah lama je kau kat sana.”

Pedih tahu!

Tempoh belajar aku sekarang bertambah lagi setahun. Dari 5 tahun menjadi 6 tahun. Barangkali, Allah ingin letakkan aku di bumi Maududi ini lama lagi agar aku dapat menceduk banyak lagi ilmu dan persiapkan diri sebelum terjun ke lapangan yang sebenar.

Tarbiyah.

‘Ala kulli hal, aku anggap ini semua tarbiyah dari Dia. Barangkali, ini juga sebagai cara Dia untuk mendekatkan aku dengan Dia. Aku akan tetap bersangka baik. Aku yakin, hikmah yang tersembunyi bakal tersingkap tak lama lagi. Hanya masa yang menjadi ukuran.

Kegagalan ini mengajar aku bahawa kau buatlah dakwah sampai nak mati sekalipun, tapi kalau benda macam belajar tu kau tak usaha juga, bukan boleh berjaya pun belajar kau.

Kalau kau nak berpegang pada ayat ketujuh Surah Muhammad tu pun, kau kena usaha. Bukannya esok ada exam, malam ni kau baca buku fikrah sampai pagi dan berharap Allah akan bantu kau dalam dewan periksa. Itu bodoh namanya.

Kau kena ingat, Islam bukan agama magis. Bukannya bila kau buat dakwah je dan tak buat benda lain, benda lain tu akan ikut sama secara automatik. Kau kena bawa sama, baru dia ikut.

Lagi satu, doa. Ni kunci terpenting. Kau pulun la buat apa pun sampai putus tangan, kalau doa tak dipohon, dahi tak sentuh sejadah, kau ingat Allah nak bantu.

Kalau Dia bantu juga, lagilah kau kena muhasabah banyak-banyak. Boleh jadi itu adalah istidraj bagi kau.

Kegagalan ini juga mengajarkan aku yang qudwah itu sangat penting. Depends pada lapangan kau la. Kalau kau still study, qudwah sebagai pelajar tu penting. Qudwah qabla dakwah.

Teringat dulu aku pernah mencanangkan perkara ini. Akhirnya, kena batang hidung sendiri. Kata aku dulu, ‘Sibuk mencanang qudwah qabla dakwah, tapi qudwah sampah’. Apakah ‘qudwah sampah’ juga yang sedang aku tunjukkan sekarang? T_T

Maaf.

Maaf kepada insan-insan yang aku dah kecewakan hati mereka. Ibu, ayah, keluarga, ikhwah-ikhwah.

Maaf kepada insan-insan yang aku tak tunjukkan qudwah yang baik kepada mereka. Rakan-rakan, adik-adik usrah, orang sekeliling.

Barangkali, kegagalan ini akan menjadi fitnah kepada agama dan dakwah kita. Untuk itu, maafkan aku.

Semoga kegagalan ini adalah kegagalan yang menghidupkan bagi aku.

Semoga aku dan rakan-rakan sekapalku terus kuat dan tsabat. Doakan kami. 

[ kredit ]

______________________________________

Wah, satu sesi luahan perasaan nampaknya. Pertama kali aku luahkan apa yang terbuku dalam jiwa di sini. Maaf andainya ini sekadar luahan kosong tak bermakna untuk anda.




Sunday, October 19, 2014

Akh, ana sedia dipimpin anta. #3

بسم الله الرحمن الرحيم

Oktober 2014.

6 tahun telah berlalu. Zubir tidak pernah menyesal akan keputusan yang diambilnya beberapa tahun dahulu. Keputusan yang dibuat setelah dirujuk kepada-Nya memang benar-benar memberikan kebaikan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada orang disekelilingnya.

Usai memarkir keretanya, dia berjalan masuk ke pekarangan rumah. Belum pun sepuluh tapak dia berjalan, kelihatan seorang anak kecil berlari-lari ke arahnya, Ummu Nusaibah Umarah. Baru berusia 3 tahun tetapi petah percakapannya mengalahkan kanak-kanak berusia 5 tahun. Zubir seraya mengangkat anak kecil itu dan mendukungnya masuk ke rumah.

*****
September 2008.

"So, bila nak datang rumah ni?"

"Datang rumah anta ke dia?"

"Rumah dia lah. Datang rumah ana nak buat apa. Bukan ada orang pun. Kalau anta datang pun dapat minum air bujang aje." Ashraf berseloroh.

"InsyaAllah minggu depan ana datanglah," jawab Zubir sambil tersenyum. "Malam ni anta datang tak?" Zubir mengalih topik perbualan kepada aktiviti futsal yang dirancang mereka setelah lama berbual pada topik yang sama.

"InsyaAllah kalau tak ada aral yang melintang, ana join. Anta ambil ana la kat rumah. Kita gerak sama-sama. Jimat sikit minyak motor ana." Ashraf berseloroh lagi.

Tiada masalah. Untuk anta semua boleh.” Zubir menambah.


*****

Akh Khairi, sebelum ni ana rasa risau sebenarnya. Maksud ana, sebelum ana buat istikharah. Ana dah pernah cerita pada anta kan macam ana dengan dia dulu. Kami ni terpedaya dengan mainan syaitan sehingga terjebak dengan couple islamik. Tiap-tiap malam saling berbalas mesej. Kemudian, bertukar-tukar hadiah. Kononnya masing-masing nak bawa ke syurga dengan peringatan-peringatan islamik, ‘jangan lupa solatlah’, kejutkan qiamlah dan lain-lain lagi. Bila ana ingat balik, ana rasa macam kotor sangat diri. Gunakan alasan agama untuk berbuat dosa. Alhamdulillah, Allah temukan ana dengan anta. Barulah ana sedar yang hidup kita ni bukan sekadar ini sahaja. Kita ada tanggungjawab yang lebih penting dan saat itulah ana sedar yang apa yang ana buat sebelum ni salah.” Zubir memulakan bicara.

Ana ingat lagi macam mana anta cerita pada ana dulu. Dan kelakar juga bila ingat balik macam mana seksanya anta nak move on bila dah putuskan hubungan dengan dia. Datang usrah pun lesu, makan tak lalu, belajar tak masuk dan macam-macam lagilah.” Akh Khairi mengusik Zubir.

Mana taknya, kami dah berkawan dekat 5 tahun. Tak ada masalah apa, tiba-tiba anta suruh putus sebab benda yang ana buat tu salah. Mau tak frust ana masa tu. Tapi, masa tu ajela. Tak lama pun kan ana jadi orang tak tentu arah. Lepas 2 minggu ana dah kembali normal balik.” Zubir membalas sambal tergelak kecil.

Zubir sendiri berasa lucu apabila mengenangkan peristiwa itu. Tidak pernah sekali dalam hidupnya berasa selemah itu. Semuanya kerana seorang wanita.

Kenderaan yang dipandu Akh Khairi terus meluncur laju melalui lebuhraya Karak. Pagi itu Akh Khairi, ibu bapa Zubir dan Zubir sendiri menuju ke Bentong, Pahang untuk menyelesaikan perkara yang telah membelenggu Zubir untuk beberapa minggu ini. Tetapi, ibu bapa Zubir dan ibu bapanya menaiki kenderaan yang berlainan kerana mereka perlu pergi ke tempat lain setelah urusan di Bentong selesai.

Setiap orang ada kisah silam masing-masing. Itu kisah silam anta. Ana pun ada kisah silam juga. Tapi, kita kena ingat. Setiap orang pun ada masa depan masing-masing. Kita tak tahu apa yang menunggu kita di hadapan. Tengok macam anta ni, dulu mungkin teruk sikit. Sekarang, ana pun kalah.” Akh Khairi mengusik. Zubir hanya tersenyum mendengarkan usikan murabbinya itu.

Dan kita juga perlu sedar yang kita tak tentu  akan selamanya menjadi baik selepas berubah. Boleh jadi kita kembali tercampak ke lembah jahiliyyah, Nauzubillahi min zalik. Sebab itulah kita kena konsisten berdoa kepada Allah dan istiqamah dalam beribadat kepada Dia.” Akh Khairi menyambung lagi.

Zubir hanya mengangguk tanda faham. Dia melihat jam di dashboard kereta Waja milik Akh Khairi sekilas. Kira-kira kurang satu jam lagi mereka akan sampai ke destinasi yang dituju. Pagi itu jalan agak lengang. Jadi, perjalanan mereka mengambil masa lebih cepat daripada yang dijangka.

Setelah 20 minit menyepi, Akh Khairi memecahkan kesunyian kereta dalam kereta itu kembali.

So, anta menyesal tak putus dengan dia dulu?” Akh Khairi bertanya.

Tak. Ana bersyukur sangat. Sebabnya sekarang dua-dua dah ikut tarbiyyah. Bayangkan kalau kami tidak putus dan masih bersama, mungkin kami tidak kenal apa itu dakwah dan tarbiyyah. Dan jika kami masih bersama, ana takut kalau-kalau kami inilah golongan yang pertama seperti yang Allah sebutkan dalam ayat ke 26 Surah An-Nur, bukan golongan yang kedua.” Seraya Zubir membacakan sebahagian terjemahan ayat ke 26 Surah An-Nur.

“Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji adalah untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan-perempuan yang baik (pula)….”

Benarlah kata orang, kalau dah jodoh tu tak ke mana. Dia adalah sebaik-baik perancang. Kita sebagai hamba perlu yakin dengan perancangan Dia dan sentiasa bersangka baik.” Zubir menambah lagi.

Alhamdulillah. Semoga Dia membalas segala pengorbanan kita.” Akh Khairi membalas pendek.

Mereka terus berbual dan tanpa sedar, mereka telah pun keluar dari lebuhraya Karak beberapa minit lalu. Zubir segera mengeluarkan telefon pintarnya untuk mencari alamat rumah yang dituju oleh mereka. Mujur rumah itu mudah dicari. Tidak sampai 15 minit mereka telah sampai ke destinasi.

Degupan jantung Zubir semakin laju. Dia berasa gugup dan gementar. Namun digagahkan juga setelah ibunya menenangkan dia.

Assalamualaikum….” Akh Khairi memberi salam kesejahteraan.

Kedengaran suara dari dalam rumah itu menjawab salam suci itu. Tahulah mereka bahawa tuan rumah ada di rumah. Akh Khairi dan ibu bapa Zubir masing-masing memandang Zubir dan memberi isyarat supaya bertenang. Beberapa saat kemudian, pintu rumah dikuak. Mereka berempat melangkah masuk apabila tuan rumah itu menjemput.

Zubir cuba menenangkan dirinya dengan berzikir.

*****

Oktober 2014.

6 tahun telah berlalu. Zubir tidak pernah menyesal akan keputusan yang diambilnya beberapa tahun dahulu. Keputusan yang dibuat setelah dirujuk kepada-Nya memang benar-benar memberikan kebaikan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada orang disekelilingnya.

Usai memarkir keretanya, dia berjalan masuk ke pekarangan rumah. Belum pun sepuluh tapak dia berjalan, kelihatan seorang anak kecil berlari-lari ke arahnya, Ummu Nusaibah Umarah. Baru berusia 3 tahun tetapi petah percakapannya mengalahkan kanak-kanak berusia 5 tahun. Zubir seraya mengangkat anak kecil itu dan mendukungnya masuk ke rumah.

Zubir bersyukur, keputusannya untuk mengahwini Amirah 6 tahun lalu benar-benar tepat. Walaupun mereka berdua mempunyai kisah lampau mereka sendiri, tetapi setelah disentuh tarbiyyah, masing-masing berubah. Mereka tidak lagi menjadi kijang-kijang yang pengecut. Kini mereka berdua telah berubah menjadi singa ummah. Dan ditakdirkan bahawa jodoh mereka berdua memang telah ditetapkan di Luh Mahfuz untuk bersama.

Kini, mereka dikurniakan seorang serikandi kecil. Seorang mujahid pula sedang menunggu masa untuk melihat dunia. Zubir berharap agar anak-anaknya kelak akan menjadi mujahid dan mujahidah untuk agama.


*****

gambar tiada kena mengena dengan entry. hanya sekadar peringatan. :p


____________________________________________

* Akhirnya, setelah setahun lebih, berjaya juga noktahkan cerita pendek ini. 

* Terima kasih kerana sudi membaca.

* Pada mulanya, nama Nusaibah itu hanyalah random. Selepas meng-google, ada sahabat nama Nusaibah rupanya. Nusaibah Binti Kaab. Dia digelar Ummu Umarah. Sebab tula nama anak Zubir tu jadi Ummu Nusaibah Umarah. Nak baca lebih lanjut pasal Nusaibah, boleh baca kat sini.




Saturday, August 30, 2014

Aku dan merdeka.

بسم الله الرحمن الرحيم

Aku,
Jauh menerawang ke fantasi mimpi,
Sekian pagi hingga gelincirnya sang suria,
Bebas,
Hinggakan seruan si Bilal,
Tak mampu gugah pengembaraan itu,
Oh, merdekanya aku!

Saban hari,
Aku bergadai masa dan tenaga,
Mengangkat papan kekunciku sebagai senjata,
Setiap seranganku padu dan bertenaga,
Sehingga lawan hanya biar tak terkata.
Seharian aku berjuang,
Agar yang aku rasa dipermenang,
Oh, merdekanya aku!

Pabila si bulan rupawan datang,
Aku pergi berkeliaran,
Mencari dataran, kelab, panggung,
Semuanya untuk dijajahi,
Bangunan berkubah, 
Hanya kupandang sepi,
Hingga si rupawan itu ingin berlalu pergi,
Barulah aku pulang,
Oh, merdekanya aku!

Bebas! Bahagia!

Eh, merdekakah aku?


SELAMAT HARI MERDEKA!

_____________________

*Terasa untuk menulis sesuatu setelah berbulan blog ini dibiarkan sepi. Maka, inilah hasilnya. Sekadar coretan pagi di bumi Maududi.




Wednesday, April 09, 2014

Of Al-Balad and As-Syams #1


“Amirah, cuti ni awak nak ke mana?” Sew Lin bertanya kepada Amirah ketika berjalan pulang dari kelas Pathology. Memandangkan cuti musim panas yang tidak berapa lama lagi akan kunjung tiba, masing-masing sudah memikirkan aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan nanti dan tempat-tempat yang ingin dilawati. Maklumlah, resam kehidupan pelajar luar negara hampir semuanya begitu. Dilihat umum seperti bermewah-mewah apabila bercuti di seantero dunia setiap kali musim cuti menjelma. Namun, kisah mengikat perut sebelum bercuti itu hanya pelajar-pelajar ini sahaja yang faham.

            “Kalau ikut plan dan tiada aral, saya akan ke Makkah untuk tunaikan umrah dengan parents saya.  Awak pula?” Amirah memulangkan semula soalan Sew Lin sebentar tadi.

            “Setakat ni, tiada plan lagi. Mungkin akan balik Malaysia aje kot. Amirah, Makkah tu tempat apa sebenarnya? Kenapa selalu saya dengar orang Islam pergi ke sana untuk sembahyang? Bukan ke orang Islam boleh sembahyang kat mana-mana je?”

            Mendengarkan soalan Sew Lin itu, Amirah tersenyum. Dia faham, soalan rakan yang bukan seagama dengannya itu ikhlas. Wajah polos Sew Lin itu memberitahu segala-galanya.

            “Sew Lin, kami ke sana bukan sekadar ingin bersembahyang aje. Kalau nak sembahyang, kat sini pun boleh. Makkah itu merupakan tanah suci bagi orang Islam. Kat situlah terletaknya kaabah, which is kiblat orang Islam setiap kali bersembahyang. Makkah juga dipanggil tanah haram. Selain daripada Makkah, Madinah juga merupakan tanah suci bagi orang Islam. Sebagai orang Islam, kami dituntut ke sana untuk mengerjakan haji. Disebabkan saya pergi bukan pada musim haji, jadi saya hanya buat umrah ajelah. Insya-Allah kalau ada masa nanti saya cerita pada awak. Kalau nak cerita semua on the way balik ni memang tak sempatlah.” Amirah senyum lagi.

            “Okay, nanti jangan lupa cerita tau! Anyway, Makkah tu kan tanah suci untuk orang Islam kan. Tapi, kenapa dipanggil tanah haram juga?” Sew Lin bertanya lanjut.

            “Awak jangan salah faham pula. Makkah tu memang digelar tanah haram. Tapi, maksudnya tanah yang mulia. Tanah atau tempat yang punya kelebihan tertentu yang tiada di tempat lain. Makkah juga merupakan tanah larangan. Larangan untuk melakukan amalan tertentu yang dibenarkan di tempat lain. Contohnya macam membunuh haiwan perburuan. Makkah juga merupakan tanah larangan untuk orang bukan Islam. Sebab itulah namanya tanah haram.”

            “Oh... kiranya saya tak bolehlah ke sana nampaknya,” balas Sew Lin rendah.

            Amirah tidak tahu apa yang perlu dibalasnya. Dengan pengetahuannya yang sedikit tentang tanah suci miliknya dan milik saudara seagamanya itu, dia risau untuk berbual panjang tentang itu. Risau kalau-kalau tersilap menyampaikan sesuatu. Akhirnya, perbualan mereka itu hanya terhenti di situ. Masing-masing terus berjalan mengunci mulut.

*****

“Assalamualaikum. Din, walimah Acap weekend ni kau pergi tak?” pop up chat tiba-tiba muncul di skrin laptop Izudin. ‘Ish, Johan ni… aku tengah syok layan lecture Bro Nouman ni sibuk pula tetiba’. Izudin menggumam sendiri.

            “Waalaikumussalam. Hah, pergilah. Mana boleh tak pergi. Walimah Acap kot. Kau pergi tak? Gerak sama-samalah nanti, okay?”

            “Takde hal. Apa-apa hal nanti roger akulah.”

            Izudin sekadar membalas mesej Johan dengan simbol ibu jari sahaja menandakan ‘okay’. Dia ingin segera menyambung video Ustaz Nouman yang tergendala sebentar tadi.

            “Din, kau tengah buat apa? Macam busy aje.” Johan bertanya apabila melihatkan Izudin sekadar membalas thumbs up sahaja kepada dia.

            “Aku tengah tengok video Ustaz Nouman ni. Kaulah kacau tadi. Ni sambung balik.” Izudin tetap membalas mesej Johan walaupun telinga dan matanya tertumpu pada video yang terpapar di laptopnya itu.

            “Pause la kejap. Aku nak tanya something ni. Penting! Antara hidup dan mati.” Johan berlagak serius.

            Melihatkan rakannya serius dan ditambah dengan tahap curiosity yang sangat tinggi, Izudin terus membalas, “kau nak tanya apa?”

            “Takdelah… Acap minggu ni. Kau bila lagi? :p :p” Johan bertanya soalan ‘pentingnya’ itu sambil menyertakan beberapa smiley.

            “Ada juga orang yang tak dapat pergi walimah Acap weekend ni nanti. Antara hidup dan mati konon. Sekeh satgi baru hang tau! Tau la hang dah lepas.” Izudin geram. Habis loghat utaranya terkeluar.

            “Janganlah marah brader. Nanti kena jual. heee. Aku tengok kau macam dah ready aje, pasal tu aku tanya. Benda baik jangan tunggu lama-lama Din. Sunnah Nabi ni. Kau kena nikah cepat-cepat. Orang sehensem kau tak boleh lambat-lambat, nanti terganggu jiwa akhwat-akhwat kat luar tu. Nanti bila dah berbaitul muslim, kau boleh didik anak-anak kau dengan tarbiyah.” Johan berseloroh dalam serius.

            “Kalau base aku pon tak mantap lagi, macam mana aku nak didik anak-anak aku bila dia orang lahir nanti? Sebab tu la aku kalau boleh nak mantapkan diri aku betul-betul dulu before ber-BM ni.” Izudin membalas.

            “Okay la… Apa-apa pun jangan lama-lama sangat. Since kau berpendirian macam tu, aku tak boleh nak kata apa la. Cumanya, kena usaha lebih lagilah untuk mantapkan diri tu sampai ke tahap ‘mantap’ yang kau gariskan. Sebabnya, sekadar sedar je tak cukup Din. Kesedaran kena datang dengan tindakan. Benda ni bukan apply untuk nikah aje. Tapi, untuk semua benda.” Johan mengingatkan Izudin. “Anyway, talk Bro Nouman tu pasal apa? Dah habis tengok belum?” Johan menyambung lagi.

            “Baru aje habis ni. Kaulah kacau dari tadi. Kurang sikit fokus aku. Dia cakap pasal hidup kita.”


            “Hidup kita?” Johan membalas pantas ingin tahu.


[kredit] 
_______________________

Eventually, first entry for this year. So many things happened and happening. Hopefully you'll get something from this story. Basically, this story is based on the content and lessons from Surah Al-Balad and Surah As-Syams. It is based on Tafseer Fi Zilal Quran by Syed Qutb. So, enjoy it and wait for the next. Till then, salam alaik. :)


Wednesday, December 11, 2013

"Dia datang......"

Bismillah...

Sudah lama benar rasanya jari ini tidak mengetuk-ngetuk papan kekunci ini. 
Janji lepas, ingin kembali mencetak jiwa-jiwa insan dengan penulisan. 
Dan hari ini, cuba mengotakan janji itu. Bi idznillah...

Sebelum itu, maaf atas ketidakrajinan diri ini untuk terus menulis di sini. InsyaAllah, mulai hari ini, saya akan cuba yang terbaik untuk memperuntukkan sedikit masa menulis di sini. Maklumlah, sekarang sudah bergelar pelajar semula. Pelajar perubatan pula tu. So, faham-fahamlah tahap kesibukannya. Lebih-lebih lagi apabila menuntut di bumi Sheikh Maududi ni. (India)

Hah, bagi alasan! 

Ops... Okay, sentap.

Alhamdulillah, sudah hampir 3 bulan saya berada di negara India ni. Pelbagai ragam manusia yang tak pernah dilihat, ditunjukkan di sini. Orang dulu-dulu cakap, 'jauh berjalan, luas permandangan'. Dan benarlah kata mereka, semakin luas pemandangan saya apabila semakin jauh saya berjalan.

Pemandangan.

Ya, pemandangan saya semakin luas. Dalam erti kata lain, semakin terbuka mata saya ini. Kalau dulu, saya mungkin hanya nampak tapi tak melihat. Alhamdulillah, sekarang saya nampak dan melihat.


Subhanallah. Sungguh, pemandangan yang sungguh luar biasa.

Bagaimana boleh nampak tapi tak melihat? 
Bilamana melihat menggunakan mata sahaja. Maka, anda hanya akan nampak.

Dan bagaimana boleh nampak dan melihat?
Bilamana anda melihat menggunakan mata dan hati. :)

Err, sejujurnya. Saya tidak punya apa-apa sangat untuk dibebelkan pada petang ni. Hanya sekadar singgah di sini dan mencoretkan sesuatu. eheh.

Atas sebab itu, biarlah saya menceritakan sebuah kisah kepada anda semua. Cerita ini diadaptasi dari kisah benar. Namun, telah diolah dengan banyaknya. Moga-moga ada iktibar disebalik kisah ini.

********************

Jam menunjukkan hampir 1 tengah hari. Sudah hampir sejam lamanya Amir disimbah terik matahari menunggu kelibat Ikhwan di situ. Pada malam sebelumnya, mereka berjanji untuk makan tengah hari bersama di Restoran Al-Habsi. Namun, sehingga kini kelibat Ikhwan masih tidak kelihatan.

Amir masih sabar menunggu. Dia pasti Ikhwan akan datang. Dia kenal benar dengan Ikhwan. Ikhwan bukanlah seorang yang gemar memungkiri janjinya. 

"Mungkin, Ikhwan ada masalah kot. Tapi, tak kan lah dia tak bagi tahu aku yang dia akan lambat hari ni..." Amir bermonolog sendiri.

Sebenarnya, sudah puas dia menelefon Ikhwan, namun panggilannya ditinggal tidak berjawab. Dalam masa menunggu Ikhwan, Amir mengisi masanya dengan membaca buku yang dibawanya bersama, 'Al-Muntalaq'. Dengan itu, masa yang berlalu tidaklah sia-sia dibawah angin panas. Amir menyambung bacaannya.

Sedar tak sedar, azan Zuhur berkumandang. Amir mengambil keputusan untuk solat terlebih dahulu di Masjid Saidina Ali yang terletak tidak jauh dari Restoran Al-Habsi. Sebelum itu, sempat lagi dia menghantar mesej kepada Ikhwan memberi tahu dia pergi solat terlebih dahulu.

Usai solat, mesejnya masih tidak berbalas. Amir mula tidak sedap hati. Terus, dia ke Restoran Al-Habsi dan memesan makanan untuk 2 orang, dibungkus dan bergerak ke bilik Ikhwan. 

Hampir 10 minit dia berdiri di hadapan pintu bilik Ikhwan. Salam telah diberi berkali-kali. Tangan pula sudah letih mengetuk pintu bilik rakannya itu. Namun, masih tiada balasan. 

Amir hampir-hampir terlupa dia ada memegang kunci pendua bilik Ikhwan. Segera dia kembali ke biliknya yang terletak di blok lain untuk mengambil kunci tersebut. Bungkusan makanan tadi, sengaja ditinggalnya di atas kerusi yg berada di hadapan bilik Ikhwan.

Apabila Amir masuk ke bilik Ikhwan, seraya dia menggelengkan kepalanya melihatkan Ikhwan berbungkus di atas katil.

"Aku tunggu punyalah lama, kau tidur rupanya. Hampas betul la kau ni Ikhwan!" 

Pantas, Amir terus melompat ke atas badan Ikhwan yang gempal itu dengan tujuan mengejutkan rakannya itu. Alangkah terkejutnya Amir apabila Ikhwan tidak bangun. Malah, lebih mengejutkan lagi badan Ikhwan panas!

"Ya Allah! Kau demam panas rupanya Ikhwan!" Amir mula gelabah. Dicubanya lagi untuk mengejutkan Ikhwan, namun usahanya tidak berjaya. Tanpa berlengah, dia terus berlari ke pejabat asrama untuk memaklumkan keadaan Ikhwan. Pihak pengurusan asrama terus sahaja menghubungi ambulan untuk menghantar Ikhwan ke hospital.

Malam itu, Ikhwan masih belum sedarkan diri. Amir semakin risau akan keadaan rakannya itu. Ibu bapa Ikhwan setia berada di wad sejak petang tadi. Ibu bapa Ikhwan mencadangkan supaya Amir pulang ke asrama terlebih dahulu. Biar mereka yang menjaga Ikhwan pada malam itu. Lagipun, Amir ada kelas keesokan harinya.

"Makcik, lusa pun saya ada kelas lagi. Tulat pun sama. Minggu depan pun. Tapi, saya cuma ada Ikhwan Aizat seorang sahaja," Amir membalas apabila ibu Ikhwan mencadangkannya pulang.

Situasi kembali senyap. Terlihat butir-butir jernih keluar dari mata kedua-dua insan tadi.

Ibu Ikhwan terharu akan sikap yang ditunjukkan Amir terhadap anaknya. Manakala Amir bersedih melihatkan rakannya yang terbaring kaku tidak bermaya di atas katil pesakit itu.

Amir sedih dan kecewa terhadap dirinya sendiri. Entah kenapa saat dia masuk ke bilik Ikhwan pada siang tadi, husnudzonnya pada Ikhwan boleh hilang begitu sahaja. Walhal, dia tahu benar akan bagaimana perilaku insan yang bernama Ikhwan Aizat itu. Dia berasa sangat bersalah. Saat ini, yang dia harapkan hanyalah Ikhwan dapat sedarkan diri dan dia dapat memohon maaf kepadanya.

Menjelang tengah malam, kira-kira pukul 11.43 malam, Ikhwan mula sedarkan diri. Nyata, Amir lah yang lebih gembira berbanding ibu bapa Ikhwan sendiri. Lantas, dia melakukan sujud syukur on the spot sebagai rasa gembira dan syukurnya pada Sang Pencipta.

Walaupun telah sedar, Ikhwan tidak berupaya untuk bercakap. Hanya pergerakan-pergerakan lemah yang mampu dia lakukan. Ikhwan cuba berinteraksi dengan Amir, namun Amir tidak dapat memahami apa yang cuba dikatakan oleh Ikhwan. Lantas, disuruhnya Ikhwan berehat sahaja. 

Keesokannya, Amir datang kembali ke wad yang menempatkan Ikhwan setelah pulang sebentar untuk urusan kendiri. Bersama-samanya, dibawa sebuah buku kosong dan pen untuk memudahkan dia berinteraksi dengan Ikhwan.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Ikhwan walaupun mukanya kelihatan pucat. Ikhwan mula menulis sesuatu dibuku itu. Ayat pertama yang ditulisnya, "Wan sayang ibu dan ayah." Amir sebak apabila membaca tulisan Ikhwan itu. Pada waktu itu, ibu bapa Ikhwan tiada di situ. Mereka berdua pulang ke rumah sebentar selepas dipaksa oleh Amir.

Pagi itu, mereka berdua berbual panjang. Namun, Amir lah yang lebih banyak bercakap. Amir menyingkap kembali zaman mereka berdua baru-baru kenal dahulu. Manakala, Ikhwan hanya sekadar mengangguk, tersenyum dan menulis sedikit sekadar membalas kepada Amir.

Petang itu, Amir meminta diri untuk pulang setelah ibu bapa Ikhwan sampai dan setelah memastikan keadaan Ikhwan semakin baik. Mulut Amir tidak henti-henti melafazkan rasa syukur kepada-Nya. Petang itu, Amir pulang dengan perasaan yang gembira.

Malangnya, kegembiraan Amir tidak lama. Pada malam itu, dia menerima panggilan daripada ibu Ikhwan bahawa keadaan Ikhwan semakin teruk. Tanpa berlengah, terus sahaja Amir bergegas ke hospital. 

Setibanya dia ke hospital, Ikhwan telah pun koma. Sejam kemudian, doktor mengesahkan bahawa otak Ikhwan tidak lagi berfungsi. Ikhwan mengalami brain death. Hidup Ikhwan kini hanya bergantung kepada bantuan mesin sahaja. Amir tahu benar apa yang akan berlaku apabila seseorang itu mengalami brain death. Tidak sanggup benar dia menerima kenyataan itu. Dia tidak sanggup untuk menerima kenyataan bahawa Ikhwan Aizat akan meninggalkannya buat selamanya di dunia ini.

Dalam kesedihan itu, Amir memandang wajah kedua-dua orang ibu bapa Ikhwan. Tergambar ketabahan dan kepasrahan di wajah mereka berdua. Amir begitu kagum akan semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua orang ibu bapa Ikhwan. Amir terus berdoa agar Allah mengurniakan keajaiban kepada Ikhwan. Dalam pada itu, dia terus menerus membisikkan kalimah-kalimah suci ke telinga Ikhwan. Tidak terlepas, nasihat supaya Ikhwan terus mengingati Allah.

Jam menunjukkan hampir 4 pagi. Pada ketika itu, keadaan Ikhwan semakin parah. Dan akhirnya, pada jam 4.27 pagi, Ikhwan disahkan meninggal dunia. Punca kematian Ikhwan ialah jangkitan virus yang telah menyebabkannya mengalami cardio respiratory arrest.

Apabila mendengar berita pengesahan kematian Ikhwan dari mulut doktor yang bertugas pagi itu, Amir berasakan dunia ini gelap seketika. Dia seperti tidak percaya dia telah kehilangan Ikhwan di dunia ini.

Padahal, hari Isnin lepas, mereka baru sahaja bermain futsal bersama-sama.
Kemudian, hari Rabunya, Ikhwan jatuh sakit dan dihantar ke hospital.
Dan hari Khamis, dia telah kehilangan rakan baiknya itu.

Rakan yang telah banyak membantunya berubah.
Rakan yang memperkenalkannya dengan tarbiyyah.
Rakan yang membantunya meninggalkan jahiliyyah.
Rakan yang berjanji untuk sama-sama berjuang untuk ummah.

Dialah Ikhwan Aizat.

Dalam masa beberapa hari sahaja Amir telah kehilangan Ikhwan. Allah lebih sayangkan Ikhwan. 

Amir terus menangis. Dia tidak dapat menahan kesedihan yang terbuku di hatinya.

Baru 3 hari pemergian Ikhwan ke dunia seterusnya, Amir sudah berasa sangat rindu akannya. Lantas, dia mencapai buku yang menjadi 'mulut' Ikhwan ketika dia terlantar di hospital tempoh hari. Itulah pertama kali Amir membaca tulisan-tulisan yg dicoretkan oleh Ikhwan. Sehelai demi sehelai muka surat diselak. 

Sebak. Setiap ayat, setiap patah, setiap gambar yang ditulis mahupun dilakarkan oleh Ikhwan ditatapnya.

"Ibu, ayah, Wan minta maaf."
"Amir, aku sayang kau"
"Amir, doakan aku."
"Ibu, Wan dahaga."

Itulah antara yang dicoretkan oleh Ikhwan. Namun, ayat yang paling menarik perhatian Amir,

"dia datangg..."

Terasa meremang bulu romanya apabila membaca ayat itu walaupun dia tidak pasti siapa 'dia' yang dimaksudkan Ikhwan yang sebenarnya. Memandangkan ayat itu berada di muka surat akhir yang ditulis oleh Ikhwan, dia membuat andaian sendiri bahawa 'dia' itu adalah Malaikat Pencabut Nyawa.

*********************

Sungguh, mati itu boleh datang bila-bila masa sahaja. Sudah tertulis di atas sana akan waktu kematian kita yang tidak akan lambat mahupun cepat walau sesaat sekalipun.

"Setiap yang bernyawa akan merasai mati....."
(3:185)

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu 
dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-
benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
(21:35)

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Kemudian
hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan."
(29:57)

Sungguh, mati itu pasti. Hidup, InsyaAllah. Semoga anda semua dapat ambil sedikit input daripada kisah sebentar tadi.

Sama-samalah kita berdoa agar dimatikan dalam keadaan khusnul khotimah. Amin.

______________________________________

*part yang "dia datang..." tu memang betul. Sumpah seram. Insaf kot. Mati tu boleh datang bila-bila je. Persoalannya, KITA DAH READY UNTUK MATI KE?

*nangis.








Saturday, July 06, 2013

Detik ini.

بسم الله الرحمن الرحيم


Saat saya memulakan entri ini, ya, kurang lebih tinggal 4 jam sahaja lagi. Setelah hampir 2 tahun membanting tulang berkerat-kerat di Banting, kini masanya sudah tiba.

Satu penungguan yang saya kira paling mencemaskan buat semua lepasan pelajar IB sepanjang umur mereka. Begitu juga saya. oh, kita serupa rupanya. eheh.

Saat ini, saya pasti ada rakan-rakan yang sudah pun mematikan semua alat yang boleh digunakan untuk berkomunikasi. Mungkin ada yang sudah pun berselubung di bawah selimut dek ketakutan yang teramat sangat. Mungkin ada yang sudah tersedia di hadapan komputer masing-masing akibat ketidaksabaran mereka. Dan mungkin juga ada yang sudah menggenggam Al-Quran di tangan untuk mengelakkan segala malapetaka buruk yang mungkin berlaku. ohoi.

Tertarik dengan hasil penulisan seorang rakan di blog beliau. Katanya lebih kurang begini (dah di edit ke ayat saya sendiri),

"Elakkan diri daripada melihat atau melakukan aktiviti yang 
melupakan-Nya sebelum keputusan dikeluarkan 
(memang sepatutnya selalu) so that bila dah keluar keputusan tu 
dan tak seperti yang kita harapkan, dalaman kita dah kuat, insyaAllah. 
Takde lah nanti kita buat sesuatu yang diluar jangkaan."

Macam tula lebih kurang. Ni linknya.

Saya tidak boleh tidak untuk tidak bersetuju. Sebabnya, memang betul pun. Sekurang-kurangnya kita dah ada tempat untuk berpaut. (worst case scenario)

Sebenarnya, tidak ada apa yang ingin dibebelkan petang ini. Cumanya, ingin berkongsi ayat cliche dengan sahabat semua. ohoi, cliche...

(2:216) | (2:286)

ohoi, kod-kod sikit. aha.
okay, buat homework sendiri.

Sejak semalam, saya semakin menggila. Membuat kira detik seorang diri. Menghuru-harakan garis masa rakan-rakan. oh, jahatnya saya.

Kepada rakan-rakan sekalian, walau apa pun keputusan kita malam ni, ingatlah, Dia adalah sebaik-baik perancang. Ya, mungkin kita tak dapat apa yang kita mahu, tapi kita dapat apa yang kita perlu.

Percayalah..... ( baca gaya Siti nyanyi. lol )

Saya kira, semua orang telah pun tahu apa yang perlu dibuat dan tak perlu dibuat. Oleh itu, tidak perlulah saya memanjangkan lagi entri ini.

Cumanya, ingin dipesan supaya jangan melupakan jasa guru-guru kita disana. Walau apa pun keputusan kita, berterima kasihlah pada mereka. Berterima kasihlah pada ibu bapa kita. Berterima kasihlah kepada rakan-rakan kita. Dan yang paling penting kepada saya. eheh. Kepada Dia.

Oh, dan lagi satu. Dalam kita menadah tangan memohon yang dipinta, jangan dilupa saudara-saudara kita di Timur Tengah sana. 

All the best semua! Semoga Allah memberikan sebaik-baik kesudahan buat kita semua. Insya-Allah.


cari reda-Nya. kbai.
_______________________________

*tembakkan doa buat saya juga. terima kasih.


Friday, July 05, 2013

Soon, brother... soon... InsyaAllah.

بسم الله الرحمن الرحيم

Aku manusia marhaen sahaja. Aku tak tahu banyak. Jadi, aku mengambil langkah mendiam diri. 

Namun begitu, entri ini tetap ditulis. Bukanlah ingin membuat analisis picisan kerana aku tak tahu banyak, tetapi atas dasar rasa yang ingin berkongsi. Berkongsi kebimbangan, kesedihan dan kerisauan. 

Soon, brother... soon...insyaAllah
Dunia hari ini menyaksikan bahawa seorang Presiden sebuah negara Islam yang diangkat secara sah melalui proses demokrasi digulingkan dengan begitu biadap sekali.

80 tahun. 80 tahun itu tempoh yang cukup lama jika dilihat secara kasar. Tetapi hari ini kita telah disedarkan bahawa 80 tahun yang dikatakan lama itu rupanya hanyalah tempoh singkat yang tidak cukup. 

Aku tidak tahu banyak perihal apa yang berlaku sekarang. Walaupun aku banyak membaca, aku buntu. Sumber yang mana satu harus aku percaya. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk berdiam diri. Berdiam diri aku bukanlah kerana ketololanku tidak mahu mengambil tahu perihal ummah. Tetapi, menyisir diri daripada mempalit fitnah.

Cumanya, aku ingin berkongsi rasa yang dirasa. Jika tahun lepas, Jun 2012, dunia Islam bersorak kegembiraan apabila Dr. Muhammad Morsi diangkat menjadi Presiden Mesir. Huffaz pertama yang menjadi Presiden sebuah negara. Ketegasannya bersama Ikhwanul Muslimin menghentam dan mengecam segala tindak tanduk musuh Islam menyebabkan dirinya menjadi sasaran utama oleh musuh-musuh Islam yang bersekongkol dengan syaitan laknatullah.

Sepanjang setahun pentadbirannya, kita dapat lihat pintu Rafah yang merupakan satu-satunya, ya, SATU-SATUNYA pintu yang menghubungkan Palestin dan dunia luar dibuka. Kini, tidak pun sampai seminggu Morsi digulingkan, desas desus penutupan pintu Rafah ini telah tersebar luas. Adakah kita masih mahu tidur?

Dunia juga menjadi saksi akan ketegasan Morsi mengkritik keras Syria pimpinan Bashar Assad yang wewenangnya membunuh dan menyiksa umat Islam di sana. Tegas, dia menutup kedutaan Syria di Mesir. Tegas, dia tidak mahu berurusan dengan Bashar Assad. Kini, dia telah dijatuhkan. Siapa lagi mahu diharapkan membela ummah yang semakin dihimpit. Pemimpin dunia Islam lain ibarat ditutup matanya, dizip mulutnya, dipekakkan telinga. Hanya tinggal si Erdogan sahajalah yang tinggal. Raccep Tayyip Erdogan, satu-satunya pemimpin negara Islam yang lantang mengkritik penggulingan Morsi. Pemimpin Islam lain, di mana?

Jun tahun lepas. Setahun berlalu. Jun 2013 telah pun berlalu pergi. Munculnya Julai 2013 membawa cerita yang begitu mendukacitakan buat seluruh umat Islam, sepatutnya. Tetapi, tidak seperti yang diharapkan. Anak-anak muda masih lagi hanyut. Hedonisme, sekularisme, liberalisme masih menguasai diri. Kini, Syiah pula datang menyerang. 

Disaat saudara mara kita di tempat lain berjuang atas kalimah ALLAH nan Esa, kita, ya, termasuk aku masih lagi sibuk dengan dunia sendiri.

Masih lagi sibuk dengan pasaran perpindahan pemain bola yang diminati.

Masih lagi sibuk dengan sekumpulan pemuda Korea yang berlari sana sini.

Masih lagi sibuk dengan.........

Sudah-sudahlah...

Wahai sahabat, wahai diri, sudah-sudahlah...

"Umat Islam itu seperti satu badan"

Tangan kita sedang sakit di Mesir. Kaki kita luka di Syria. Anggota lain sedang sakit di Palestin, Myanmar, Iraq dan termasuklah di Malaysia sendiri. Bagaimana mungkin kita boleh tidur enak bertilamkan mimpi indah, makan sekenyangnya bak tiada apa yang berlaku, sedangkan anggota badan kita yang lain sakit. Jika kita mampu berbuat demikian, sedarlah, ada perkara yang tidak kena dengan kita. Ada benda yang tak kena dengan aku.

Kepada para du'at diluar sana, peristiwa ini mengingatkan kita semua bahawa kita harus terus bekerja. Bekerja dengan phase yang lebih laju. Dunia memerlukan kita. Ummat memerlukan kita. Kita memerlukan Allah, itu jangan dilupa.

Penggulingan Morsi memberi tahu kepada kita bahawa 80 tahun masih belum cukup. Malah, Kerajaan sahaja yang Islam dalam sebuah negara juga tidak cukup. Kita memerlukan Daulah Islam.

Untuk itu, pembangunan dari bawah yang paling diperlukan sekarang. Individu muslim. Perlulah dikejutkan ikhwah dan akhowat yang sibuk hendak mendaki tangga kedua itu bahawa tangga pertamanya belum kukuh lagi. Aku perlu dikejutkan.

Kepada seluruh rakyat Mesir yang haknya dinafikan, bersabarlah. Tiada yang berlaku untuk sia-sia. Pasti Allah akan menggantikan sesuatu yang lebih baik.

Kepada Dr. Muhammag Morsi, teruskan berjuang. Kau berada dijalan yang betul. Seluruh dunia Islam bersamamu. Aku bersamamu. Teruslah mara... Morsi.

Tidak lama lagi, ikhwah, tidak lama lagi, insyaAllah.

Soon, brother... soon... InsyaAllah....

___________________________

*Hati tidak tenang ingin menulis cerita yang telah dimulakan mengingatkan saudara-saudara yang berada di sana. Keputusan exam yang dijangka keluar esok juga tidak mampu menggugah jiwa. Morsi, aku bersamamu. Islam bersamamu...




Thursday, June 27, 2013

Akh, ana sedia dipimpin anta. #2

بسم الله الرحمن الرحيم

Zubir tenggelam dalam bacaannya. Agak lama dia beku dalam posisi silanya itu menghayati ayat-ayat cinta daripada-Nya. Bacaannya melintas di sepotong ayat yang membuatkannya berhenti dan berfikir,

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: 'Sesungguhnya aku termasuk golongan muslim (yang berserah diri)!" 
(Fussilat 41:33)

Zubir termenung seketika. Al-Quran berserta terjemahan keluaran Al Hidayah House of Quran di tangannya itu ditutup dan diletakkan semula ke tempat asal. Zubir mencapai pula telefon pintarnya. Dibuka kembali peti masuknya, mesej kedua dipilih. Dibacanya sekali lagi, kemudian jarinya ligat mencari isyarat reply. Jarinya menari lagi. Kali ini, tariannya tidak kemas. Kerap terhenti. Seusai menari, nafasnya ditarik panjang dan dalam-dalam. Selang beberapa saat, satu notification terpapar di skrin telefonnya. 'Message delivered'.

"Assalamualaikum. Sila berikan ana masa. Izinkan ana beristikharah dulu. Ana tak yakin lagi mampu memimpin."

*****

Seminggu telah berlalu. Dalam seminggu itulah, Zubir bangun setiap pagi seawal jam 4 untuk meminta petunjuk daripada-Nya. Bukan 2 3 hari, tetapi setiap hari. Jawapan atau petunjuk yang diterimanya tetap sama. Jadi, Zubir membuat keputusan untuk memanjangkan hal itu kepada kedua-dua orang ibu bapanya.

Pada mulanya, Zubir membuat keputusan untuk membincangkan hal itu ketika makan malam, tetapi ditangguhkan dahulu hasrat hatinya itu apabila melihatkan ibu bapanya sedang gembira melayani kerenah kedua-dua orang adiknya yang baru sahaja bermula cuti persekolahan mereka. Zubir tidak mahu mengganggu kegembiraan mereka semua ketika itu. Dia pasti bahawa hal yang ingin diusulkan kepada kedua-dua orang ibu bapanya itu akan merunsingkan mereka.

Malam itu, rumah yang sering sunyi itu menjadi hidup semula. Keriangan jelas terpancar di wajah ahli-ahli rumah itu. Yang paling jelas sekali sudah pasti ibu Zubir. Jika setiap hari, dia hanya keseorangan di rumah itu, hanya berteman apabila suaminya pulang pada lewat petang, malam itu dia bersama dengan anak-anak yang dirinduinya.

Mungkin keletihan menaiki bas pulang ke rumah petang tadi, kedua-dua orang adik Zubir telah pun nyenyak diulit mimpi. Kesempatan itu segera diambil oleh Zubir untuk menyatakan hasrat yang terbuku dihatinya kepada kedua-dua ibu bapanya itu. Segera didekati orang tuanya itu.

"Ayah, Ibu, Zub ada perkara yang hendak dibincangkan dengan Ayah dan Ibu. Harapnya Ayah dan Ibu tidak terkejut dan dapat memberikan keputusan yang terbaik buat Zub." Zubir memulakan bicara terus menghulurkan telefon pintar miliknya itu. Kelihatan berkerut muka ibu bapanya apabila membaca tulisan yang terpapar di telefon pintar itu.

*****

"Assalamualaikum. Kaifa haluk sheikh? Anta kat mana sekarang? Boleh kita jumpa? Ana rasa ana dah ready dah ni." Tidak lama kemudian, satu notifikasi muncul di skrin, "Message delivered.

Selepas menghantar mesej tersebut, jari Zubir menari lagi di skrin sesentuh telefon pintarnya itu mencari profil Akh Khairi untuk memaklumkan bahawa dia akan menyelesaikan hal yang membelenggu fikirannya pada hari itu.

Tengah hari itu, Zubir berjumpa dengan Ashraf di kedai makan berhampiran dengan Masjid Al-Qaf seusai solat zuhur berjemaah.

"Ashraf, ana rasa dah ready lah ni." Zubir memulakan bicara sambil menyuapkan sudu ditangannya ke mulut.

"Eh, anta jangan main-main. Benda ni bukannya boleh main rasa-rasa macam masak makanan. Tak boleh cuba-cuba. Anta betul-betul dah ready ke ni?" Ashraf membalas. Dia cuba mendapatkan kepastian daripada sahabatnya itu. Dia ingin memastikan bahawa Zubir memang benar-benar faham dan sedia untuk menempuhi segala cabaran yang mendatang dengan tindakan yang ingin diambilnya itu.

Kata-kata Ashraf itu tadi membuatkan Zubir termenung panjang. Satu keluhan berat dihembuskan. "Ana faham, benda ni bukanlah perkara kecil. Ana dah buat solat istikharah banyak kali dah. Dan jawapan yang ana dapat sama je. Lagipun, ana dah bincang dengan parents ana. Mereka pun tak menghalang."

"Kalau macam tu, baiklah. Ana percaya dengan anta. Kita pun bukannya baru berkawan. Bertahun lamanya. Sejak dari sekolah menengah dulu lagi. Jadi, ana harap anta akan tetap jadi diri anta dan bertambah hebat dari hari ke hari. Dan yang paling penting, dapat didik dan pimpin dia dengan sebaiknya." Ashraf memberikan nasihat kepada rakannya itu sejurus mencapai air teh ais di sisinya.

"Insya-Allah akhi. Ana akan cuba sebaiknya. Doakanlah yang terbaik." 
Zubir menjawab pendek. Kemudian menghabiskan makanan dipinggannya yang masih tinggal sedikit itu.

"So, bila nak datang rumah ni?"



*****

gambar tiada kena mengena dengan entry. hanya sekadar peringatan. :p



___________________________________________

*Setelah lama tidak menulis, akhirnya kembali lagi. Fokus utama ingin menghabiskan dahulu cerita ini memandangkan cerita ini pendek sahaja. Kemudian barulah cerita Aiman disambung kembali. Sebenarnya ingin menamatkan terus cerita ini di sini. Tetapi, terfikir untuk menambah lagi satu episod pula tiba-tiba. Insya-Allah, coming soon.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...