Disklaimer

Semua isi kandungan dalam blog ini adalah picisan pemikiran penulis blog ini kecuali jika dinyatakan bukan. Mohon para pembaca bersedia dengan ubat-ubatan yang sesuai disebelah apabila ingin membaca blog ini. Pihak penulis tidak mahu bertanggungjawab atas segala kesulitan yang pihak pembaca alami. Andainya ada kesilapan yang berlaku, mohon kepada saudara dan saudari untuk menegur. Saudara saudari juga bebas untuk berkongsi isi blog ini sesuka hati saudara saudari. Tetapi, lebih molek rasanya jika saudara dan saudari dapat menitipkan bersama pautan ke blog ini supaya mudah dirujuk. Terima kasih.

Tuesday, April 07, 2015

Harapan: Kegagalan yang Menghidupkan

Agak lama juga blog ini ditinggalkan sepi tanpa entry yang membangkitkan hati. Masakan mahu membangkitkan hati dan jiwa insan lain sedangkan penulisnya sendiri dalam kondisi hati dan jiwa yang tak terbangkit.

Alhamdulillah, Dia masih kurniakan kesedaran, kekuatan, kesabaran dan keinginan untuk terus berada di jalan ini. Benarlah kata pejuang-pejuang dakwah yang terlebih dahulu melalui jalan ini, jalan dakwah ini bukan seperti jalan-jalan yang lain. Jalan ini penuh dengan onak duri dan sangat berliku. Hanya yang benar-benar kuat sahaja yang mampu bertahan. Dan Alhamdulillah sekali lagi, Dia masih pinjamkan kekuatan kepada aku untuk terus berada di jalan ini.

Cuti.

Aku suka dan tak suka cuti. Cuti ini ibarat satu virus. Jika kita mampu kawalnya, maka virus ini tunduk kepada badan kita. Jika kita gagal, jadilah kita hamba kepada cuti itu. Cuti ni kalau kita tak manfaatkan sepenuhnya, jadilah kita dalam golongan manusia yang disebut ‘al-khosirun’ dalam al-Quran yang bermaksud orang-orang yang rugi. Kalau kita berjaya manfaatkan sepenuhnya, jadilah kita dalam golongan orang-orang yang beruntung dan berjaya.

Cuti kali ini aku pulang dengan perasaan gembira. Mana taknya, dua orang sahabat fillahku akan melangkah ke tangga seterusnya dalam maratib amal. Alhamdulillah, mereka telah ditemukan jodoh mereka di jalan dakwah ini juga. Semoga pernikahan mereka itu menjadi qudwah buat masyarakat sekeliling mereka dan menggencarkan lagi dakwah mereka.

Dalam kegembiraan melihatkan mereka melangkah ke alam rumah tangga, berita kurang menyenangkan terus mengubah mood cuti aku. Masakan tidak, gagal untuk kali kedua bukanlah sesuatu yang mudah ditelan. Kali kedua, bukannya kali pertama lagi. Dan aku, sebagai orang yang dilihat membawa syiar Islam tidak menunjukkan qudwah yang sepatutnya.

Itulah yang menggusarkan jiwa aku sebenarnya.

Aku bimbang, dakwahku dijadikan sebab oleh mereka. Walhal, aku sendiri tidak pernah menyalahkan urusan dakwahku. Aku punya jadualku sendiri. Segalanya cukup aku bahagikan masa dengan sebaiknya. Ada masa untuk aku belajar, ada masa untuk membaca, ada masa untuk menulis, ada masa untuk beriadah dan ada masa untuk urusan dakwahku.

Cuma silap aku, tak belajar bila waktunya untuk aku belajar. Terkadang aku lupa bahawa belajar itu juga satu medium dakwah.

Sekarang, aku malu sendiri. Malu dengan sahabat seperjuangan, malu dengan adik-adik usrahku dan yang paling malu sekali, dengan Dia yang merancang ini semua.

Ah, boleh sahaja aku nak sedapkan hati bahawa ini semua hanyalah mehnah bagi aku. Ini adalah ujian tapisan untuk aku. Tetapi, nak sedapkan hati untuk apa? Untuk berasa tidak bersalah atas kesalahan diri yang terlanjur dilakukan.

Gusar urusan dakwahku menjadi fitnah, aku memberi hint kepada orang sekelilingku dengan mengeluarkan tweet seperti ini;

I never regret on what I did and what I commit to. I just regret that I didn’t do what I suppose to.”

Soalan.

Aku benci bila ada orang akan bertanya how and why. So, if you gonna ask how and why, just keep the question for yourself. I don’t need it. Untuk sekarang, aku hanya perlukan sokongan daripada kau dan kau.

Soalan-soalan yang kau rasa tak patut tanya dan tak patut bangkitkan, kau boleh simpan masuk peti dan tanam. Boleh juga kau biar tinggalkan sebagai draft dan dua tiga hari kemudian kau delete. Sebabnya aku memang tak suka.

Apabila pulang ke kampung pada cuti kali ini, soalan-soalan yang tak enak didengar untuk dijawab sering kali dilontarkan.

“Kau berapa lama lagi kat sana?”

“Sekarang kau tahun berapa?”

Kemudian ditambahkan lagi garam pada luka bila soalan yang dilontarkan dijawab.

“Aku rasa macam dah lama je kau kat sana.”

Pedih tahu!

Tempoh belajar aku sekarang bertambah lagi setahun. Dari 5 tahun menjadi 6 tahun. Barangkali, Allah ingin letakkan aku di bumi Maududi ini lama lagi agar aku dapat menceduk banyak lagi ilmu dan persiapkan diri sebelum terjun ke lapangan yang sebenar.

Tarbiyah.

‘Ala kulli hal, aku anggap ini semua tarbiyah dari Dia. Barangkali, ini juga sebagai cara Dia untuk mendekatkan aku dengan Dia. Aku akan tetap bersangka baik. Aku yakin, hikmah yang tersembunyi bakal tersingkap tak lama lagi. Hanya masa yang menjadi ukuran.

Kegagalan ini mengajar aku bahawa kau buatlah dakwah sampai nak mati sekalipun, tapi kalau benda macam belajar tu kau tak usaha juga, bukan boleh berjaya pun belajar kau.

Kalau kau nak berpegang pada ayat ketujuh Surah Muhammad tu pun, kau kena usaha. Bukannya esok ada exam, malam ni kau baca buku fikrah sampai pagi dan berharap Allah akan bantu kau dalam dewan periksa. Itu bodoh namanya.

Kau kena ingat, Islam bukan agama magis. Bukannya bila kau buat dakwah je dan tak buat benda lain, benda lain tu akan ikut sama secara automatik. Kau kena bawa sama, baru dia ikut.

Lagi satu, doa. Ni kunci terpenting. Kau pulun la buat apa pun sampai putus tangan, kalau doa tak dipohon, dahi tak sentuh sejadah, kau ingat Allah nak bantu.

Kalau Dia bantu juga, lagilah kau kena muhasabah banyak-banyak. Boleh jadi itu adalah istidraj bagi kau.

Kegagalan ini juga mengajarkan aku yang qudwah itu sangat penting. Depends pada lapangan kau la. Kalau kau still study, qudwah sebagai pelajar tu penting. Qudwah qabla dakwah.

Teringat dulu aku pernah mencanangkan perkara ini. Akhirnya, kena batang hidung sendiri. Kata aku dulu, ‘Sibuk mencanang qudwah qabla dakwah, tapi qudwah sampah’. Apakah ‘qudwah sampah’ juga yang sedang aku tunjukkan sekarang? T_T

Maaf.

Maaf kepada insan-insan yang aku dah kecewakan hati mereka. Ibu, ayah, keluarga, ikhwah-ikhwah.

Maaf kepada insan-insan yang aku tak tunjukkan qudwah yang baik kepada mereka. Rakan-rakan, adik-adik usrah, orang sekeliling.

Barangkali, kegagalan ini akan menjadi fitnah kepada agama dan dakwah kita. Untuk itu, maafkan aku.

Semoga kegagalan ini adalah kegagalan yang menghidupkan bagi aku.

Semoga aku dan rakan-rakan sekapalku terus kuat dan tsabat. Doakan kami. 

[ kredit ]

______________________________________

Wah, satu sesi luahan perasaan nampaknya. Pertama kali aku luahkan apa yang terbuku dalam jiwa di sini. Maaf andainya ini sekadar luahan kosong tak bermakna untuk anda.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...