بسم الله الرحمن الرحيم
Zubir tenggelam dalam bacaannya.
Agak lama dia beku dalam posisi silanya itu menghayati ayat-ayat cinta
daripada-Nya. Bacaannya melintas di sepotong ayat yang membuatkannya berhenti
dan berfikir,
"Dan siapakah yang lebih
baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan
kebajikan dan berkata: 'Sesungguhnya aku termasuk golongan muslim (yang
berserah diri)!"
(Fussilat 41:33)
Zubir termenung seketika.
Al-Quran berserta terjemahan keluaran Al Hidayah House of Quran di tangannya
itu ditutup dan diletakkan semula ke tempat asal. Zubir mencapai pula telefon
pintarnya. Dibuka kembali peti masuknya, mesej kedua dipilih.
Dibacanya sekali lagi, kemudian jarinya ligat mencari isyarat reply. Jarinya menari lagi.
Kali ini, tariannya tidak kemas. Kerap terhenti. Seusai menari, nafasnya
ditarik panjang dan dalam-dalam. Selang beberapa saat, satu notification terpapar di skrin telefonnya. 'Message delivered'.
"Assalamualaikum. Sila
berikan ana masa. Izinkan ana beristikharah dulu. Ana tak yakin lagi mampu
memimpin."
*****
Seminggu telah berlalu. Dalam
seminggu itulah, Zubir bangun setiap pagi seawal jam 4 untuk meminta petunjuk
daripada-Nya. Bukan 2 3 hari, tetapi setiap hari. Jawapan atau petunjuk yang
diterimanya tetap sama. Jadi, Zubir membuat keputusan untuk memanjangkan hal
itu kepada kedua-dua orang ibu bapanya.
Pada mulanya, Zubir membuat
keputusan untuk membincangkan hal itu ketika makan malam, tetapi ditangguhkan
dahulu hasrat hatinya itu apabila melihatkan ibu bapanya sedang gembira
melayani kerenah kedua-dua orang adiknya yang baru sahaja bermula cuti
persekolahan mereka. Zubir tidak mahu mengganggu kegembiraan mereka semua
ketika itu. Dia pasti bahawa hal yang ingin diusulkan kepada kedua-dua orang
ibu bapanya itu akan merunsingkan mereka.
Malam itu, rumah yang sering
sunyi itu menjadi hidup semula. Keriangan jelas terpancar di wajah ahli-ahli
rumah itu. Yang paling jelas sekali sudah pasti ibu Zubir. Jika setiap hari,
dia hanya keseorangan di rumah itu, hanya berteman apabila suaminya pulang pada
lewat petang, malam itu dia bersama dengan anak-anak yang dirinduinya.
Mungkin keletihan menaiki bas
pulang ke rumah petang tadi, kedua-dua orang adik Zubir telah pun nyenyak
diulit mimpi. Kesempatan itu segera diambil oleh Zubir untuk menyatakan hasrat
yang terbuku dihatinya kepada kedua-dua ibu bapanya itu. Segera didekati orang
tuanya itu.
"Ayah, Ibu, Zub ada
perkara yang hendak dibincangkan dengan Ayah dan Ibu. Harapnya Ayah dan Ibu
tidak terkejut dan dapat memberikan keputusan yang terbaik buat Zub."
Zubir memulakan bicara terus menghulurkan telefon pintar miliknya itu.
Kelihatan berkerut muka ibu bapanya apabila membaca tulisan yang terpapar di
telefon pintar itu.
*****
"Assalamualaikum. Kaifa
haluk sheikh? Anta kat mana sekarang? Boleh kita jumpa? Ana rasa ana dah
ready dah ni." Tidak lama kemudian, satu notifikasi muncul di
skrin, "Message delivered."
Selepas menghantar mesej
tersebut, jari Zubir menari lagi di skrin sesentuh telefon pintarnya itu
mencari profil Akh Khairi untuk memaklumkan bahawa dia akan menyelesaikan hal
yang membelenggu fikirannya pada hari itu.
Tengah hari itu, Zubir berjumpa
dengan Ashraf di kedai makan berhampiran dengan Masjid Al-Qaf seusai solat
zuhur berjemaah.
"Ashraf, ana rasa dah
ready lah ni." Zubir memulakan bicara sambil menyuapkan sudu
ditangannya ke mulut.
"Eh, anta jangan
main-main. Benda ni bukannya boleh main rasa-rasa macam masak makanan. Tak
boleh cuba-cuba. Anta betul-betul dah ready ke ni?" Ashraf membalas. Dia cuba
mendapatkan kepastian daripada sahabatnya itu. Dia ingin memastikan bahawa
Zubir memang benar-benar faham dan sedia untuk menempuhi segala cabaran yang
mendatang dengan tindakan yang ingin diambilnya itu.
Kata-kata Ashraf itu tadi
membuatkan Zubir termenung panjang. Satu keluhan berat dihembuskan. "Ana
faham, benda ni bukanlah perkara kecil. Ana dah buat solat istikharah banyak
kali dah. Dan jawapan yang ana dapat sama je. Lagipun, ana dah bincang dengan
parents ana. Mereka pun tak menghalang."
"Kalau macam tu, baiklah.
Ana percaya dengan anta. Kita pun bukannya baru berkawan. Bertahun lamanya.
Sejak dari sekolah menengah dulu lagi. Jadi, ana harap anta akan tetap jadi
diri anta dan bertambah hebat dari hari ke hari. Dan yang paling penting, dapat
didik dan pimpin dia dengan sebaiknya." Ashraf
memberikan nasihat kepada rakannya itu sejurus mencapai air teh ais di sisinya.
"Insya-Allah akhi. Ana akan cuba sebaiknya. Doakanlah yang terbaik." Zubir menjawab pendek. Kemudian menghabiskan makanan dipinggannya yang masih tinggal sedikit itu.
"So, bila nak datang
rumah ni?"
*****
___________________________________________
*Setelah lama tidak menulis, akhirnya kembali lagi. Fokus utama ingin menghabiskan dahulu cerita ini memandangkan cerita ini pendek sahaja. Kemudian barulah cerita Aiman disambung kembali. Sebenarnya ingin menamatkan terus cerita ini di sini. Tetapi, terfikir untuk menambah lagi satu episod pula tiba-tiba. Insya-Allah, coming soon.