Disklaimer

Semua isi kandungan dalam blog ini adalah picisan pemikiran penulis blog ini kecuali jika dinyatakan bukan. Mohon para pembaca bersedia dengan ubat-ubatan yang sesuai disebelah apabila ingin membaca blog ini. Pihak penulis tidak mahu bertanggungjawab atas segala kesulitan yang pihak pembaca alami. Andainya ada kesilapan yang berlaku, mohon kepada saudara dan saudari untuk menegur. Saudara saudari juga bebas untuk berkongsi isi blog ini sesuka hati saudara saudari. Tetapi, lebih molek rasanya jika saudara dan saudari dapat menitipkan bersama pautan ke blog ini supaya mudah dirujuk. Terima kasih.

Monday, February 25, 2013

mintak mak, kuih sepotong!

بسم الله الرحمن الرحيم

Seperti lagu raya sudah gamaknya tajuk di atas. Bertenang. Kalendar saya di telefon mudah alih ini masih berfungsi. Saya tahu sekarang baru sahaja Rabiul Akhir. Beberapa bulan lagi sebelum Ramadan menjelang, apatah lagi Syawal menjengah. Jadi, jangan risau. Ini bukan entri tentang hari raya. *senyum.

ohoi, terliur mak jemah... [kredit]
Agak-agak, pernah tak kita minta dengan seseorang sesuatu dengan bersungguh-sungguh, tapi akhirnya kita tak terima pun 'benda' tu bila orang tu bagi pada kita?

Contohnya, masa kita kecil-kecil dulu, menangis-nangis minta ibu bapa belikan patung Otromen, Sailormoon, Doraemon, Power Rangers ataupun yang seumpama dengannya untuk kita. Tapi, bila kita dah dapat benda-benda tu semua, apa yang kita buat dengan benda-benda tu? Adakah kita terima dan simpan dengan baik ataupun kita ambil dan membuangnya entah ke mana?

Contoh lain, kita minta mak kita kuih sepotong masa hari raya ataupun ada kenduri di rumah. Tapi, kemudiannya kita tak makan pun kuih tu, malah kita buangnya merata-rata. Pernah tak?
(Saja nak relate dengan tajuk. hihihi. *gelak sumbang)

Ataupun, pernah tak orang beriya-riya nak pinjam barang kita, merayu penuh kesungguhan dan tawaduk, tapi akhirnya barang kita itu dilempar ke tepi je bila kita dah bagi pada mereka. Pernah?

Inilah contoh situasi ataupun analogi yang saya nak bincangkan hari ini. Kita mungkin pernah melakukan perkara sedemikian dalam keadaan tidak sedar dan mungkin dalam konteks yang berlainan. Bukanlah meminta patung Otromen sebagainya, bukanlah meminta kuih sepotong dan bukan juga hendak meminjam barang kawan kita.

Okay, cuba kita lihat semula situasi-situasi tadi. Patut ke tadi kita buang je patung Otromen yang mak ayah kita dah belikan untuk kita sebab kita menangis 6 hari 6 malam tak nak berhenti? Patut ke? Tak patut. Tak patut.

Patut ke buang kuih tu even sepotong je pun? Yang ni pun tak patut. Tak patut. Membazir bak hang! Rakyat Somalia berebut-berebut nak ambil kuih sepotong tu tau tak? *pang

Sekali lagi, patut ke orang yang pinjam barang kita tu lempar kat tepi je bila kita dah bagi? Ini lagi lah tak patut. Barang kita kot!

Saya kira, hampir semua daripada anda akan bersetuju dengan saya, (siapa tak setuju kena setuju jugak. *gelak keji). Perlakuan mereka semua memang tidak patut. Mereka semua perlu dibom! Eh! Err...bertenang-bertenang.

Baiklah, dalam ketidaksetujuan kita dengan mereka, tanpa kita sedar, mungkin kita pun pernah menjadi sebahagian daripada mereka, ataupun sedang menjadi sebahagian daripada mereka.

Cuba bayangkan, kita berada di tempat ibu bapa kita tadi, di tempat mak kita tadi, di tempat kawan kita tadi. Agak-agak, apa reaksi kita jika kita diperlakukan sedemikian rupa? Rasa-rasanya, kalau lautan tak terbelah dua pun, sekurang-kurangnya akan timbul satu jerawat kecil dimuka menahan kemarahan. eh.

Begitulah, sifat kita. Manusia.

Tetapi, sedar atau tidak, Allah tidak pernah marah kepada kita jika kita berbuat sebegitu kepada-Nya. Dia tetap terus memberi, memberi dan memberi. Namun, apa yang kita balas? *sweat gland activated

Sering kali saya dengar, orang mengeluh kerana keadaan semasanya. Kita perlu ingat bahawa, situasi baik atau buruk yang sedang kita alami sekarang berpunca daripada keputusan yang kita ambil pada masa lalu.

Sebagai contoh. Kita terlalu banyak kerja di pejabat sehingga membuatkan kita kurang tidur, tak cukup makan, tak cukup rehat, stress, dan ditambah pula dengan ulah rakan sekerja yang tidak membantu langsung. Lalu, kita mengeluh dengan keadaan itu. Setelah puas berdoa siang dan malam, pagi dan petang, kita berasakan bahawa pertolongan Allah itu tidak sampai-sampai.

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh mala petaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang beriman bersamanya: 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."
(Al-Baqarah, 2:214)

Sesungguhnya, pertolongan Allah itu sangat dekat. Tidak percayakah kita pada janji-Nya?

Cuba kita renungkan kembali mengapa kita masih berada di tempat yang sama. Mungkin, sebelum ini kita pernah tidak percaya akan janji-Nya.

Bagaimana?

Mungkin sebelum ini kita pernah bermunajat kepada-Nya, meminta petunjuk yang terbaik daripada-Nya. Namun, setelah Dia berikan panduan, kita tidak ikut pun. Lalu, apabila kita mengalami masalah di hari muka, kita hendak menyalahkan-Nya kerana tidak membantu kita, wajarkah?

Kita tertekan di tempat kerja kita sekarang, mungkin kerana kita tidak ikut panduan yang diberikan oleh-Nya suatu ketika dahulu. Kata-Nya, kita tidak sesuai berkerja di situ, kita sanggah kata kita sesuai. Semuanya sebab nafsu semata. Gaji lumayan. Hidup senang. Tetapi, lihatlah hasilnya, panas tidak sampai ke petang pun, hujan dah tujun dengan lebat.

Situasi inilah yang saya analogikan dengan kita minta patung Otromen dan sepotong kuih semua tu tadi.

Kita dah minta, kemudian bila diberi, kita buang. Apabila kaki kita terluka terpijak patung Otromen yang kita sepahkan tadi, kita salahkan ibu bapa kita yang belikan kita. Apabila rumah kita bersemut kerana kuih sepotong yang kita buang tadi, kita salahkan mak kita memberinya pada kita.

Wajarkah?

Sahabat-sahabat, percayalah dengan-Nya. Tidak mungkin Dia mahu menganiaya hamba-hamba-Nya. Kita ni yang sebenarnya menganiaya diri kita sendiri.

Apabila sudah beristikharah, yakinlah dengan petunjuk yang diberikan-Nya. Sesungguhnya, itulah yang terbaik untuk kita. 

".....Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah, 2:216)

Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Trust HIM!

p/s: dah minta kuih sepotong tu, jangan buang pula. Makan! :D

__________________________________

*tiba-tiba rasa ingin menulis petang ini. bahana malam tadi mungkin.





3 comments:

  1. mende la kau ni acad, tajuk entri asyik tak kena je dengan isi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha. takpela. tajuk tu nak attract org je. kalau letak tajuk skema org malas nak baca. kot.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...