بسم الله الرحمن الرحيم
Tiba-tiba......
“Ya Allah!!!”
Jeritan
kuat Yusuf bergema satu blok asrama lelaki SMKA Bukit Batu itu. Dia terperanjat
melihatkan Aiman yang jatuh tergolek di tangga asrama. Berlari terus dia
dapatkan rakan sekelasnya itu.
“Aiman,
kau ok tak ni? Ya Allah, macam mana kau boleh jatuh ni?”
Aiman
terjatuh tangga pada hari itu. Dia yang begitu semangat untuk turun berlatih
pada petang itu culas mengikat tali kasutnya dengan rapi sehingga menyebabkan
ikatan tali kasutnya terbuka dan dia terpijak. Akibatnya, tegolek seperti
nangka busuklah dia pada petang itu di tangga asrama blok A.
“Aku
terpijak tali kasut aku la. Allahuakbar, cuai sangat aku ni.” Aiman kecewa
dengan dirinya sendiri. Akibat tidak berhati-hati, padah menimpanya. Apabila
teringat akan pertandingan merentas desa yang berbaki 2 hari sahaja lagi,
kecewanya bertambah. Dia tahu bahawa dia tidak akan berlari pada tahun ini. Dia
pasrah. Mungkin niatnya untuk menang pada tahun ini sedikit tersasar. Jadi,
Allah tidak membenarkannya menang, malah tidak dapat bertanding langsung pun
pada tahun ini. Itu fikirnya.
“Yang kau
excited sangat nak turun hari ni kenapa? Tali nak ikat betul lagi dah
beriya-riya lari turun. Tu, tak nampak ke papan tanda tu?” Yusuf bebelkan Aiman
sambil menunjuk ke arah papan tanda yang dilekatkan di dinding tangga tersebut.
‘Lantai licin, hati-hati.’ Yusuf yang memang terkenal dengan mulut murainya terus
mengomel sendiri. Para pelajar di situ tidak hairan dengannya kerana Yusuf
merupakan antara pendebat di sekolah itu. Hampir semua pendebat di sekolah itu
suka bercakap.
“Kan
lantai tangga ni baru tukar cuti tahun lepas. Tile yang ni licin sikit.
Lain kali nak turun tangga tu hati-hatilah. Kau boleh bangun tak ni? Jom! Aku papah
kau pergi bilik warden. Kita pergi klinik.” Walaupun suka membebel, Yusuf tetap
mempunyai hati yang baik. Dia suka membantu rakannya terutamanya dalam
pelajaran subjek Bahasa Melayu. Itu memang subjek kegemarannya.
“Thanks
Usop. Sedih aku tak dapat join merentas desa tahun ni.” Aiman meluahkan
kekecewaannya.
“Ala,
Allah nak bagi orang lain menang pula. Asyik kau je menang tiap-tiap tahun.
Bosan pula aku tengok.”
Aiman
hanya mampu tersenyum. Sampai sahaja di bilik warden, Yusuf menceritakan kepada
Cikgu Affendey apa yang berlaku kepada Aiman. Cikgu Affendey yang bertugas pada
hari itu terus sahaja menghidupkan enjin keretanya untuk menghantar Aiman ke
klinik.
*****
“Semua
pelajar diminta untuk berkumpul di garisan permulaan sekarang juga! Sila
beratur mengikut kategori masing-masing. Yang di hadapan sekali ialah lelaki
bawah 18 tahun, di ikuti lelaki bawah 15 tahun, perempuan bawah 18 tahun dan
akhir sekali perempuan bawah 15 tahun. Kita akan memulakan pertandingan ini
sebentar sahaja lagi. Diminta semua pelajar dapat memberikan kerjasama.”
Suara
Cikgu Azam jelas kedengaran dari corong pembesar suara mudah alih yang
digunakannya itu. Setiap tahun, memang suara dialah yang akan kedengaran. Mana
taknya, memang dialah yang menguruskan pertandingan merentas desa sekolah itu
saban tahun. Tidak hairanlah suaranya akan berkumandang setiap tahun.
Masing-masing
berebut untuk mendapatkan barisan hadapan. Semua mahu menang. Namun, ada juga
yang tidak kisah. Bagi mereka, penyertaan mereka itu adalah kerana terpaksa
kerana pihak sekolah memang mewajibkan semua pelajar menyertai pertandingan
tersebut. Kecuali para pelajar yang ada masalah kesihatan. Mereka perlu
membantu guru-guru untuk menjaga check-point ataupun sebagai sukarelawan
pada hari itu.
Aiman
melihat sahaja dari jauh. Hati ini kecewa. Jika dia berhati-hati dua hari
lepas, pasti dia tidak akan duduk di situ pada hari itu. Kakinya terseliuh.
Doktor tidak membenarkannya menyertai sebarang aktiviti lasak untuk 2 minggu
lamanya. ‘Kenapalah aku cuai sangat?’ Aiman mengomel sendiri.
Pada hari
itu, Aiman ditugaskan untuk menjaga kaunter penamat. Dia ditugaskan untuk
mencatat masa dan mengambil nama para pemenang untuk kategorinya sendiri. Terdapat
beberapa orang lagi pelajar muslimin dan muslimat bersamanya. Masing-masing
dengan tugas masing-masing.
Sementara
menunggu para peserta sampai ke garisan penamat, Aiman membawa sebuah buku
unutk menemaninya. Dia tidak mahu masanya dihabiskan di situ tanpa membuat
apa-apa perkara yang bermanfaat. Sedang asyik menelaah buku Bio-Score miliknya
itu, sorang muslimat menegurnya.
“Asif, akh,
minta tolong boleh? Boleh tolong angkatkan kotak air mineral tu bawa ke sini?
Itu untuk para pelajar yang memerlukannya nanti.”
Melihatkan
wajah muslimat itu. Aiman tergamam. Otaknya ligat mengimbas sesuatu.
“Akh,
boleh ke?”
Suara
muslimat itu menyedarkannya. Aiman malu sendiri. Tanpa berkata apa-apa, dia
terus bangun dari tempat duduknya dan mengangkat kotak berisi air mineral yang
dikatakan oleh muslimat itu sebentar tadi. Seliuhnya hanya sedikit. Jadi, untuk
mengangkat sekotak air mineral bukanlah satu masalah baginya.
Setelah
selesai, Aiman meneruskan pembacaannya. Tetapi, dia tidak sefokus tadi.
Pembacaannya terganggu. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Akhirnya, dia menutup
kembali buku Bio-Scorenya itu walaupun belum sampai 2 muka surat dibacanya.
‘Kenapa
aku tak pernah nampak muslimat tadi tu? Form 4 baru ke? Tapi, muka dia
macam pernah nampak. Macam familiar je.’ Aiman bermonolog sendiri.
Macam-macam yang difikirkannya dan semuanya berkisar tentang muslimat sebentar
tadi.
Sedang
asyik berrfikir, Aiman tidak sedar bahawa Imran telah pun masuk ke kawasan
padang. Hanya 100 meter sahaja lagi untuk sampai ke garisan penamat. Imran
merupakan pemenang tempat ketiga edisi lepas. Semua orang memang menjangkakan
bahawa dia akan menjadi johan pada tahun ini selepas ketiadaan Aiman yang
cedera dan Fakhrul Hisyam yang sudah pun habis sekolah.
Aiman
disedarkan dengan sorakan gempita daripada ahli rumah Khalid yang bersorak
apabila melihatkan kapten rumah sukan mereka sudah tiba. Cepat-cepat dicapainya
stopwatch di atas mejanya itu untuk mencatat masa.
Setelah
dipastikan semua peserta telah pun sampai ke sekolah, acara penyampaian hadiah
dimulakan. Semua pelajar bangga dengan ahli rumah sukan masing-masing.
Bermacam-macam ulah setiap tahun. Bagi pelajar yang menang, ada yang didukung
sehingga ke pentaslah, ada yang dipayungkanlah, ada yang penuh dengan nombor
satu badan. Macam-macam kerenah mereka dan begitulah yang berlaku setiap tahun.
Usai pemberian
hadiah untuk individu, tibalah pula pengumumam untuk juara setiap kategori dan
juara keseluruhan. Masing-masing tidak sabar menunggu. Jika tahun lepas, rumah
Thariq yang merupakan rumah sukan Aiman menjuarai kategori keseluruhan. Tetapi,
mungkin berubah pada tahun ini kerana ramai atlet rumah Thariq yang sudah pun
habis sekolah dan ada yang berpindah ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) selepas
mendapat keputusan yang cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) mereka.
Tidak terkecuali juga terdapat atlet yang tercedera seperti Aiman sendiri.
Selepas tamat
acara penyampaian hadiah dan pengumuman rumah sukan terbaik, masing-masing bersurai
menuju ke dewan selera.
Ziqri
yang terlihat kelibat seorang pelajar yang jalan berdengkot-dengkot, terus
sahaja mengejar pelajar itu. Dia tahu, itu ialah sahabatnya, Aiman.
“Aiman,
nasib kurang baik la tahun ni. 2 mata je kot beza dengan rumah Khalid. Aku
rasa, kalau kau tak injured ni, memang confirm kita yang menang
hari ni. Tapi, nak buat macam mana kan, benda dah berlaku.” Ziqri juga
merupakan ahli rumah sukan Thariq. Sama dengan Aiman. Dia meluahkan rasa
kecewanya pada sahabatnya itu.
“Kalau
kau kecewa, aku lagi double triple punya kecewa. Tak apalah. Merentas
desa je pun. Kita ada sukantara dengan acara akhir lagi. Insya-Allah boleh
punya.” Aiman optimis. Dia yakin Thariq mampu bangkit selepas ini. Dia juga
reda dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Dia pasti, ada sesuatu yang
Allah cuba tunjukkan pada dia. Tiba-tiba, dia teringat akan muslimat yang minta
tolongnya sebentar tadi. ‘Kenapa dengan dia?’ Aiman bermonolog sendiri.
*****
Minggu
hadapan, SMKA Bukit Batu akan bercuti selama 5 hari bersempena dengan cuti raya
cina. Walaupun tiada pelajar yang berbangsa Cina di sekolah itu, tetapi sekolah
itu tetap bercuti memandangkan cuti itu adalah cuti am bagi satu Malaysia.
“Assalamualaikum.
Abi, apa khabar?” Aiman menelefon abinya untuk memberitahu perihal cutinya
minggu hadapan dan ingin bertanya tentang plan abinya.
“Waalaikumussalam.
Alhamdulillah, sihat je. Hanif?” Suara di corong telefon itu bersambut.
“Alhamdulillah,
Hanif pun sihat je. Abi, minggu depan Hanif cuti 5 hari. Yang Abi plan
nak ke Sabah tu jadi ke? Sebab kalau tak jadi, Ziqri nak ikut balik rumah.
Tapi, kalau jadi, Hanif tak jadilah balik rumah. Mungkin Hanif akan ikut Ziqri
balik rumah kot.”
“Insya-Allah,
jadi. Hanif, betul ke tak nak ikut abi ni? Hanif masih ingat perkara tu lagi
ke? Hanif, benda dah lepas tu lepaslah. Bukan salah Hanif pun. Dah memang itu
yang ditetapkan oleh Allah, kita kena terima.” Encik Majid cuba memujuk anak
lelakinya itu untuk mengikutinya ke Sabah pada minggu hadapan.
“Hanif
dah cuba lupakan abi. Tapi, tak berjaya. Tak apalah abi, mungkin belum sampai
masanya lagi. Insya-Allah lambat laun nanti Hanif akan lupakan juga. Jadi, confirm
abi akan pergi Sabah next week?” Aiman inginkan kepastian.
“Kalau
tiada aral. Insya-Allah jadi la kot. Aiman datang rumah Ziqri nanti jaga diri.
Kirim salam pada Ziqri dan keluarga dia. Nanti abi bank in kan duit. Ok Hanif,
abi ada kerja ni. Nanti Hanif telefon lagi ya. Jangan solat lambat-lambat,
belajar rajin-rajin dan jangan lupa berdoa banyak-banyak. Jaga diri.
Assalamualaikum.”
“Insya-Allah,
abi. Waalaikumussalam.”
Talian sebelah
sana diputuskan. Aiman meletakkan kembali gagang telefon awam itu. Satu keluhan
berat terluah. Matanya berkaca-kaca. Otaknya ligat memutarkan kembali peristiwa
lama.
“Ya
Allah, aku tak cukup kuat ya Allah. Kau pinjamkanlah kekuatan-Mu.” Aiman merintih. Dia
masuk ke dalam bilik operasi pengawas. Melihatkan tiada sesiapa di dalam. Dia menangis
sepuasnya. ‘Ziqri, andainya kau tahu bahawa sahabatmu ini ada menyimpan sesuatu
darimu yang sangat besar. Pasti kau tidak akan menerimanya kerana aku
menanggungnya seorang diri tanpa berkongsi denganmu. Lambat laun kau akan tahu
juga. Sabarlah.’ Aiman bercakap sendiri. Kemudian, terus menangis. Luka dihatinya
sudah lama dan tidak sembuh-sembuh lagi. Setiap hari dia berdoa agar luka di
hatinya itu lekas sembuh.
__________________________________
*episod kali ini agak panjang. alhamdulillah, idea datang mencurah-curah. semoga anda semua dapat terus bersabar membacanya dan sabar menunggu episod akan datang. adios~
No comments:
Post a Comment