Disklaimer

Semua isi kandungan dalam blog ini adalah picisan pemikiran penulis blog ini kecuali jika dinyatakan bukan. Mohon para pembaca bersedia dengan ubat-ubatan yang sesuai disebelah apabila ingin membaca blog ini. Pihak penulis tidak mahu bertanggungjawab atas segala kesulitan yang pihak pembaca alami. Andainya ada kesilapan yang berlaku, mohon kepada saudara dan saudari untuk menegur. Saudara saudari juga bebas untuk berkongsi isi blog ini sesuka hati saudara saudari. Tetapi, lebih molek rasanya jika saudara dan saudari dapat menitipkan bersama pautan ke blog ini supaya mudah dirujuk. Terima kasih.

Wednesday, January 30, 2013

Aiman #8

بسم الله الرحمن الرحيم




“Ziqri, petang tadi aku dah call abi aku, dia cakap jadi nak ke Sabah next week. Aku tak nak ikut. So, boleh tak kalau aku nak balik ke rumah kau minggu depan?” kesunyian perjalanan ke kelas untuk prep pada malam itu dipecahkan dengan bicara Aiman.

“Aku tak kisah. Boleh je. Haih, bila la agaknya aku ada peluang nak pergi ke rumah kau ni. Asyik tak berkesempatan je. Tapikan, kenapa kau tak nak ikut pergi Sabah tu ya?” Ziqri pelik. Kalau dialah, tak perlu diajak, pasti dia akan meminta sendiri. Tetapi, berbeza dengan Aiman.

Ok, thanks bro. Dah lama aku tak main kat sawah ni. Rasa rindu pula.” Aiman berkata sambil tersengih menunjukkan barisan giginya yang putih bersih itu. Sengaja tidak dijawab soalan yang diajukan oleh Ziqri sebentar tadi. Dia belum bersedia lagi untuk memberitahu Ziqri segalanya. Setakat ini, biarlah dia memendam sakit itu sendiri. “Ziqri, kau gerak dulu la. Aku nak ke tandas sekejap.” Aiman menyambung lagi.

Sebenarnya, dia sengaja ingin melarikan diri daripada Ziqri. Bimbang diajukan dengan pelbagai persoalan yang tidak mahu dijawabnya.

“Kau memang kan! Soalan aku tak jawab, lari pula.” Ziqri menumbuk bahu Aiman tanda tidak berpuas hati. Namun, tumbukan itu hanya tumbukan lemah. Tumbukan gurauan daripada seorang sahabat kepada sahabatnya. Aiman hanya tersenyum.

“Maaf Ziq, aku tak ready lagi. Insya-Allah, suatu hati nanti kau akan tahu juga.” Aiman bermonolog sendiri.

*****

4 bulan telah berlalu. Kejohanan Sukan Tahunan SMKA Bukit Batu telah pun melabuhkan tirainya sebulan lalu. Peperiksaan pertengahan tahun juga baru sahaja dihadapi oleh para pelajar SMKA Bukit Batu pada 2 minggu yang lepas. Masing-masing sedang menunggu keputusan mereka dengan rasa yang bercampur baur. Ada yang tidak sabar, ada yang takut dan ada juga yang tidak mahu tahu langsung.begitulah asam garam para pelajar apabila tibanya waktu keputusan peperiksaan dikeluarkan.

Minggu itu adalah minggu pertama mereka di sekolah selepas bercuti lebih kurang 2 minggu. Seperti biasa, malam pertama selepas pulang bercuti akan menjadi malam yang paling riuh di sekolah itu, hatta di mana-mana sekolah sekali pun. Masing-masing dengan cerita masing-masing. Sehingga ada yang sanggup tidur lewat kerana seronok bercerita.

Ketika dalam perjalanan ke surau As-Syakirin, Najiha ternampak kelibat Aiman berjalan ke surau seorang diri. Otaknya ligat memerah kembali peristiwa yang berlaku sewaktu cuti pertengahan tahun yang lalu.
Ketika itu, dia terjumpa Aiman dan keluarganya di suatu kenduri saudaranya. Apabila mengenang kembali peristiwa itu, hatinya jadi sayu. Dia tidak menyangka bahawa Aiman menyimpan satu rahsia yang sangat besar. Dia berasakan bahawa dia pasti tidak mampu untuk hadapai apa yang Aiman hadapi jika dia berada di tempat Aiman. Kekagumannya kepada Aiman semakin meninggi.

Apabila tersedar yang dia sedang melihat orang yang bukan mahramnya, dia segera menundukkan pandangannya. Kagumnya pada insan bernama Aiman Hanif itu bukanlah satu tiket untuk dia melanggar perintah Allah. Dia masih ingat lagi pesanan Ustazah Hafizah di dalam kelasnya sewaktu pembelajaran Pendidikan Agama Islam di tingkatan 2. Waktu itu, dia baru sahaja kenal dengan insan yang bernama Aiman Hanif itu.

*****

(Kelas 2 Muadz, Mei, 2002)

“Muslimat sekalian, ustazah rasa, cukuplah untuk hari ini. Tetapi, sebelum itu ustazah nak kongsi dengan antunna ayat dari Al-Quran.” Ustazah Hafizah memang begitu. Sebelum habis waktunya setiap kelas, dia akan berkongsi ayat-ayat Al-Quran dengan anak muridnya.

“Baiklah, hari ini ustazah nak kongsi satu ayat dari surah An-Nur, ayat ke 30. Sesiapa yang ada Quran tafsir bersama, bolehlah buka muka surat 353.” Ustazah Hafizah meneruskan perkongsiannya dengan membacakan potongan ayat tersebut. Seusai membaca, dia meminta anak muridnya untuk membacakan terjemahannya pula. “Baik, siapa yang nak bacakan terjemahan ayat-ayat ni?”

Fatiha mengangkat tangan. Fatiha merupakan ketua tingkatan Najiha pada waktu itu. Tanpa membuang masa, Fatiha terus membacakan terjemahan ayat ke 30 surah An-Nur itu.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung hingga ke paras dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau…….” Fatiha meneruskan pembacaanya sehingga habis ayat ke 31.

“Terima kasih Fatiha. Awak boleh duduk. Ok, berbalik kepada ayat Al-Quran tadi, Allah dah sebut dah, wahai perempuan beriman, jaga pandangan kamu, pelihara kemaluan kamu, tutup aurat kamu dan labuhkan tudung kamu. Aurat tu boleh tunjuk kepada mahram sahaja. Lepas itu, Allah suruh kita bertaubat agar kita menjadi orang yang beruntung. Ustazah kira, kita semua ialah perempuan yang beriman. Jadi, dah jelas lagi bersuluh bahawa ayat itu Allah tujukan pada kita. Dalam usia antenna semua sekarang ni, ustazah yakin bahawa semua telah pun baligh. Jadi, semua tanggungan dosa dan pahala itu telah jatuh pada bahu kita sendiri. Mahukah kita menanggung dosa yang banyak hanya kerana keluar rumah tanpa memakai tudung? Kemudian, semua mata memandang rambut kita tu. Tahukah antunna, setiap mata yang memandang itu akan dihitung di akhirat kelak? Kemudian, bila dah cantik bertudung, dipakai pula baju adik-adik. Allah suruh kita tutup aurat kita, bukan balut aurat kita. Tudung tu pula, hendaklah labuh sehingga menutup dada. Ini tak, pusing sana, pusing sini, angkat sana, angkat sini. Ustazah yang tengok ni pun rimas. Lagi satu, jaga pandangan. Bila kita bertembung dengan orang bukan mahram tu, tundukkanlah pandangan. Nanti kat akhirat kelak, mata kita ni juga yang akan menjadi saksi atas setiap perkara yang kita lihat. Adakah kita nak mata kita ini nanti berkata depan Allah, ‘sepanjang hidup, orang ni asyik melihat keburukan sahaja, memandang kepada yang bukan mahram dan melihat perkara-perkara maksiat’. Adakah kata-kata itu yang kita nak dengar? Ustazah harap, antunna semua dapat ambil pengajaran dari perkongsian ayat ini. Ustazah tahu, antunna semua baik-baik belaka. Ustazah saying dengan antunna semua ni. Sebab itu ustazah nak antunna tahu benda-benda ni semua. Kekallah dengan pakaian yang antunna pakai sekarang ini sampai bila-bila pun. Insya-Allah semuanya selamat. Allah pun reda.” Ustazah Hafizah pun menamatkan kata-katanya segera apabila sedar bahawa guru yang seterusnya telah menunggu di luar kelas.

*****

“Saat aku baru kenal dengan Aiman, saat aku asyik terbayang dan melihat wajahnya, kau hantar Ustazah Hafizah untuk mengingat aku pada waktu itu. Masya-Allah, cantik sungguh perancangan Kau.” Najiha berkata sendiri di dalam hati.

“Semoga anta terus tabah, Aiman.” Kata-kata itu sekadar terlepas di dalam hatinya sahaja. Tidak terluah dek mulut kerana malu. Malunya masih kemas menjadi pakaiannya sejak sekian lama.

Peristiwa ketika cuti pertengahan tahun hari itu kembali bermain di kepalanya.

*****

Hari itu merupakan hari yang bersejarah untuk Salmi. Hari itu status dirinya berubah dari bujang kepada sudah berkahwin. Majlis walimah pada hari itu sekadar bersederhana. Hanya sanak saudara terdekat, rakan-rakan dan penduduk setempat sahaja yang dijemput.

Pagi-pagi lagi Najiha telah bangun pada hari itu. Dia sungguh gembira sekali walaupun yang berkahwin bukanlah dirinya, tetapi sepupunya yang paling rapat sekali, Kak Salmi. Walaupun perbezaan umur mereka hampir 5 tahun, itu tidak menghalang mereka untuk kekal rapat.

Tetamu mula membanjiri pekarangan rumah Encik Ghani seawal jam 10 pagi. Semakin tengah hari, tetamu semakin ramai. Najiha yang sejak tadi berada di dalam rumah keluar untuk melihat dan merasa suasana di luar pula.

Sedang asyik membantu orang menyusun pinggan di meja makan, mata Najiha menangkap kelibat sesorang yang dia kenal. “Aiman? Buat apa pula di sini? Rasanya dia bukan tinggal kat sini pun.” Dia menyoal dirinya sendiri. Disebabkan rasa ingin tahu yang membuak-buak, dia segera mendapatkan Aiman untuk bertanya.

“Assalamualaikum. Aiman, anta buat apa di sini?” Najiha menegur.

Aiman yang terperanjat ditegur oleh rakan satu sekolahnya itu kaget. “Eh, Jiha. Em, waalaikumussalam. Err, ana temankan ayah ana. Ayah ana ni kawan kepada ayah pengantin ini. Enti pula?” Aiman berjaya mengawal keadaan.

“Ana sepupu pengantin perempuan. Kami memang rapat sejak dulu lagi.” Kata-kata Najiha terhenti apabila ditegur oleh Encik Majid.

“Seronok berbual. Kawan Hanif ke ni? Tak nak kenalkan kepada abi?” Encik Majid cuba bergurau.

“Eh, abi.” Aiman kaget semula. Mukanya merah menahan malu apabila diusik oleh abinya dihadapan Najiha. Dia menyambung kata-katanya semula. “Kenalkan abi, ini Najiha. Rakan sekolah Hanif. Najiha, ini ayah ana, kenalkan.”

Najiha yang turut malu apabila Encik Majid mengusik tertunduk-tunduk. “Assalamualaikum, pakcik. Pakcik dengan Aiman datang berdua je ke? Ibu dan adik-adik Aiman tidak ikut sama?” Najiha memberanikan diri untuk bertanya.

Mendengar soalan itu, Encik Majid segera memandang anaknya dengan pandangan yang bermakna. Aiman yang sedar, tertunduk. Najiha mula rasa tak senang dengan situasi itu. Tetapi, dia tidak tahu apa yang hendak dilakukannya.

Encik Majid menjawab soalan Najiha dengan persoalan. “Aiman tidak pernah cakap apa-apa ke?”

“Aiman nak cakap apa? Apa yang Aiman simpan ni?” Pelbagai persoalan timbul di benaknya. Najiha keliru.

Aiman tekad, dia akan merungkai segala kekusutan di bermain di mindanya sejak sekian lama. Dia bersuara, “Jiha, sebenarnya……

Episod 7 | Episod 9

______________________________________

*Apakah yang Aiman simpan sebenarnya? Sila nantikan episod yang akan datang. By the way, harapnya sidang pembaca dalam ambil sesuatu dari cerita ini sebab saya menulis bukanlah untuk menulis kosong. adios~


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...