بسم الله الرحمن الرحيم
“Ziqri, petang tadi aku dah call abi aku, dia cakap jadi nak ke Sabah next week. Aku tak nak ikut. So, boleh tak kalau aku nak balik ke rumah kau minggu depan?” kesunyian perjalanan ke kelas untuk prep pada malam itu dipecahkan dengan bicara Aiman.
“Aku tak kisah. Boleh je. Haih, bila la agaknya
aku ada peluang nak pergi ke rumah kau ni. Asyik tak berkesempatan je. Tapikan,
kenapa kau tak nak ikut pergi Sabah tu ya?” Ziqri pelik. Kalau dialah, tak
perlu diajak, pasti dia akan meminta sendiri. Tetapi, berbeza dengan Aiman.
“Ok, thanks bro. Dah lama aku tak main
kat sawah ni. Rasa rindu pula.” Aiman berkata sambil tersengih menunjukkan
barisan giginya yang putih bersih itu. Sengaja tidak dijawab soalan yang
diajukan oleh Ziqri sebentar tadi. Dia belum bersedia lagi untuk memberitahu
Ziqri segalanya. Setakat ini, biarlah dia memendam sakit itu sendiri. “Ziqri,
kau gerak dulu la. Aku nak ke tandas sekejap.” Aiman menyambung lagi.
Sebenarnya, dia sengaja ingin melarikan diri
daripada Ziqri. Bimbang diajukan dengan pelbagai persoalan yang tidak mahu
dijawabnya.
“Kau memang kan! Soalan aku tak jawab, lari
pula.” Ziqri menumbuk bahu Aiman tanda tidak berpuas hati. Namun, tumbukan itu
hanya tumbukan lemah. Tumbukan gurauan daripada seorang sahabat kepada
sahabatnya. Aiman hanya tersenyum.
“Maaf Ziq, aku tak ready lagi. Insya-Allah,
suatu hati nanti kau akan tahu juga.” Aiman bermonolog sendiri.
*****
4 bulan telah berlalu. Kejohanan Sukan Tahunan
SMKA Bukit Batu telah pun melabuhkan tirainya sebulan lalu. Peperiksaan
pertengahan tahun juga baru sahaja dihadapi oleh para pelajar SMKA Bukit Batu
pada 2 minggu yang lepas. Masing-masing sedang menunggu keputusan mereka dengan
rasa yang bercampur baur. Ada yang tidak sabar, ada yang takut dan ada juga
yang tidak mahu tahu langsung.begitulah asam garam para pelajar apabila tibanya
waktu keputusan peperiksaan dikeluarkan.
Minggu itu adalah minggu pertama mereka di
sekolah selepas bercuti lebih kurang 2 minggu. Seperti biasa, malam pertama
selepas pulang bercuti akan menjadi malam yang paling riuh di sekolah itu,
hatta di mana-mana sekolah sekali pun. Masing-masing dengan cerita
masing-masing. Sehingga ada yang sanggup tidur lewat kerana seronok bercerita.
Ketika dalam perjalanan ke surau As-Syakirin,
Najiha ternampak kelibat Aiman berjalan ke surau seorang diri. Otaknya ligat
memerah kembali peristiwa yang berlaku sewaktu cuti pertengahan tahun yang
lalu.
Ketika itu, dia terjumpa Aiman dan keluarganya
di suatu kenduri saudaranya. Apabila mengenang kembali peristiwa itu, hatinya
jadi sayu. Dia tidak menyangka bahawa Aiman menyimpan satu rahsia yang sangat
besar. Dia berasakan bahawa dia pasti tidak mampu untuk hadapai apa yang Aiman
hadapi jika dia berada di tempat Aiman. Kekagumannya kepada Aiman semakin
meninggi.
Apabila tersedar yang dia sedang melihat orang
yang bukan mahramnya, dia segera menundukkan pandangannya. Kagumnya pada insan bernama
Aiman Hanif itu bukanlah satu tiket untuk dia melanggar perintah Allah. Dia
masih ingat lagi pesanan Ustazah Hafizah di dalam kelasnya sewaktu pembelajaran
Pendidikan Agama Islam di tingkatan 2. Waktu itu, dia baru sahaja kenal dengan insan
yang bernama Aiman Hanif itu.
*****
(Kelas 2 Muadz, Mei, 2002)
“Muslimat sekalian, ustazah rasa, cukuplah
untuk hari ini. Tetapi, sebelum itu ustazah nak kongsi dengan antunna ayat dari
Al-Quran.” Ustazah Hafizah memang begitu. Sebelum habis waktunya setiap kelas,
dia akan berkongsi ayat-ayat Al-Quran dengan anak muridnya.
“Baiklah, hari ini ustazah nak kongsi satu ayat
dari surah An-Nur, ayat ke 30. Sesiapa yang ada Quran tafsir bersama, bolehlah
buka muka surat 353.” Ustazah Hafizah meneruskan perkongsiannya dengan
membacakan potongan ayat tersebut. Seusai membaca, dia meminta anak muridnya
untuk membacakan terjemahannya pula. “Baik, siapa yang nak bacakan terjemahan
ayat-ayat ni?”
Fatiha mengangkat tangan. Fatiha merupakan
ketua tingkatan Najiha pada waktu itu. Tanpa membuang masa, Fatiha terus
membacakan terjemahan ayat ke 30 surah An-Nur itu.
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan
yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan
janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan
hendaklah mereka melabuhkan kain tudung hingga ke paras dadanya dan janganlah
menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka atau ayah
mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau…….” Fatiha
meneruskan pembacaanya sehingga habis ayat ke 31.
“Terima kasih Fatiha. Awak boleh duduk. Ok,
berbalik kepada ayat Al-Quran tadi, Allah dah sebut dah, wahai perempuan
beriman, jaga pandangan kamu, pelihara kemaluan kamu, tutup aurat kamu dan
labuhkan tudung kamu. Aurat tu boleh tunjuk kepada mahram sahaja. Lepas itu,
Allah suruh kita bertaubat agar kita menjadi orang yang beruntung. Ustazah
kira, kita semua ialah perempuan yang beriman. Jadi, dah jelas lagi bersuluh bahawa
ayat itu Allah tujukan pada kita. Dalam usia antenna semua sekarang ni, ustazah
yakin bahawa semua telah pun baligh. Jadi, semua tanggungan dosa dan pahala itu
telah jatuh pada bahu kita sendiri. Mahukah kita menanggung dosa yang banyak
hanya kerana keluar rumah tanpa memakai tudung? Kemudian, semua mata memandang
rambut kita tu. Tahukah antunna, setiap mata yang memandang itu akan dihitung
di akhirat kelak? Kemudian, bila dah cantik bertudung, dipakai pula baju
adik-adik. Allah suruh kita tutup aurat kita, bukan balut aurat kita. Tudung tu
pula, hendaklah labuh sehingga menutup dada. Ini tak, pusing sana, pusing sini,
angkat sana, angkat sini. Ustazah yang tengok ni pun rimas. Lagi satu, jaga
pandangan. Bila kita bertembung dengan orang bukan mahram tu, tundukkanlah
pandangan. Nanti kat akhirat kelak, mata kita ni juga yang akan menjadi saksi
atas setiap perkara yang kita lihat. Adakah kita nak mata kita ini nanti
berkata depan Allah, ‘sepanjang hidup, orang ni asyik melihat keburukan
sahaja, memandang kepada yang bukan mahram dan melihat perkara-perkara maksiat’.
Adakah kata-kata itu yang kita nak dengar? Ustazah harap, antunna semua dapat
ambil pengajaran dari perkongsian ayat ini. Ustazah tahu, antunna semua
baik-baik belaka. Ustazah saying dengan antunna semua ni. Sebab itu ustazah nak
antunna tahu benda-benda ni semua. Kekallah dengan pakaian yang antunna pakai
sekarang ini sampai bila-bila pun. Insya-Allah semuanya selamat. Allah pun
reda.” Ustazah Hafizah pun menamatkan kata-katanya segera apabila sedar bahawa
guru yang seterusnya telah menunggu di luar kelas.
*****
“Saat aku baru kenal dengan Aiman, saat aku
asyik terbayang dan melihat wajahnya, kau hantar Ustazah Hafizah untuk
mengingat aku pada waktu itu. Masya-Allah, cantik sungguh perancangan Kau.”
Najiha berkata sendiri di dalam hati.
“Semoga anta terus tabah, Aiman.” Kata-kata itu
sekadar terlepas di dalam hatinya sahaja. Tidak terluah dek mulut kerana malu.
Malunya masih kemas menjadi pakaiannya sejak sekian lama.
Peristiwa ketika cuti pertengahan tahun hari
itu kembali bermain di kepalanya.
*****
Hari itu merupakan hari yang bersejarah untuk
Salmi. Hari itu status dirinya berubah dari bujang kepada sudah berkahwin. Majlis
walimah pada hari itu sekadar bersederhana. Hanya sanak saudara terdekat,
rakan-rakan dan penduduk setempat sahaja yang dijemput.
Pagi-pagi lagi Najiha telah bangun pada hari
itu. Dia sungguh gembira sekali walaupun yang berkahwin bukanlah dirinya,
tetapi sepupunya yang paling rapat sekali, Kak Salmi. Walaupun perbezaan umur
mereka hampir 5 tahun, itu tidak menghalang mereka untuk kekal rapat.
Tetamu mula membanjiri pekarangan rumah Encik
Ghani seawal jam 10 pagi. Semakin tengah hari, tetamu semakin ramai. Najiha
yang sejak tadi berada di dalam rumah keluar untuk melihat dan merasa suasana
di luar pula.
Sedang asyik membantu orang menyusun pinggan di
meja makan, mata Najiha menangkap kelibat sesorang yang dia kenal. “Aiman? Buat
apa pula di sini? Rasanya dia bukan tinggal kat sini pun.” Dia menyoal dirinya
sendiri. Disebabkan rasa ingin tahu yang membuak-buak, dia segera mendapatkan
Aiman untuk bertanya.
“Assalamualaikum. Aiman, anta buat apa di sini?”
Najiha menegur.
Aiman yang terperanjat ditegur oleh rakan satu
sekolahnya itu kaget. “Eh, Jiha. Em, waalaikumussalam. Err, ana temankan ayah
ana. Ayah ana ni kawan kepada ayah pengantin ini. Enti pula?” Aiman berjaya mengawal
keadaan.
“Ana sepupu pengantin perempuan. Kami memang
rapat sejak dulu lagi.” Kata-kata Najiha terhenti apabila ditegur oleh Encik
Majid.
“Seronok berbual. Kawan Hanif ke ni? Tak nak
kenalkan kepada abi?” Encik Majid cuba bergurau.
“Eh, abi.” Aiman kaget semula. Mukanya merah
menahan malu apabila diusik oleh abinya dihadapan Najiha. Dia menyambung
kata-katanya semula. “Kenalkan abi, ini Najiha. Rakan sekolah Hanif. Najiha,
ini ayah ana, kenalkan.”
Najiha yang turut malu apabila Encik Majid
mengusik tertunduk-tunduk. “Assalamualaikum, pakcik. Pakcik dengan Aiman datang
berdua je ke? Ibu dan adik-adik Aiman tidak ikut sama?” Najiha memberanikan
diri untuk bertanya.
Mendengar soalan itu, Encik Majid segera
memandang anaknya dengan pandangan yang bermakna. Aiman yang sedar, tertunduk.
Najiha mula rasa tak senang dengan situasi itu. Tetapi, dia tidak tahu apa yang
hendak dilakukannya.
Encik Majid menjawab soalan Najiha dengan
persoalan. “Aiman tidak pernah cakap apa-apa ke?”
“Aiman nak cakap apa? Apa yang Aiman simpan ni?” Pelbagai persoalan timbul di benaknya. Najiha keliru.
Aiman tekad, dia akan merungkai segala
kekusutan di bermain di mindanya sejak sekian lama. Dia bersuara, “Jiha,
sebenarnya……
Episod 7 | Episod 9
______________________________________
*Apakah yang Aiman simpan sebenarnya? Sila nantikan episod yang akan datang. By the way, harapnya sidang pembaca dalam ambil sesuatu dari cerita ini sebab saya menulis bukanlah untuk menulis kosong. adios~